SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga individu lain diteruskan hari ini dengan kenyataan ASP Supari Muhammad.
Panel itu juga dijangka mendengar kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat yang mengetuai pasukan petugas mencari Koh yang diculik pada 13 Februari.
Pada prosiding semalam, polis menuduh peguam keluarga Koh cuba mengelirukan panel itu dengan melukis gambar yang didakwa sebagai “potong dan tampal” semasa Inspektor Ali Asrar memberi keterangan.
Para peguam menunjukkan gambar dua polis bertopeng yang menangkap seorang suspek tanpa sebarang tanda di pakaian mereka.
Bagaimanapun, pemerhati polis dalam inkuiri itu mempertikaikannya. Peguam keluarga Koh kemudian menunjukkan kepada panel dua gambar yang terdapat di laman sesawang.
Selepas melihat gambar, pemerhati polis dalam siasatan meminta maaf atas kekeliruan itu dan kerana mendakwa mereka memberi bukti palsu.
Suruhanjaya siasatan Suhakam ditubuh bagi menentukan sama ada kehilangan Koh dan tiga yang lain – Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth dan aktivis sosial Amri Che Mat – adalah kes kehilangan paksa, iaitu penculikan yang dibuat dengan kuasa atau sokongan negeri atau organisasi politik.
The Malaysian Insight melaporkan prosiding hari ini secara langsung.
5.30pm: Siasatan hari ini berakhir dan akan bersambung jam 2.45 petang esok.
5.20pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Fadzil jika polis memeriksa laluan yang mungkin Koh ambil (semasa penculikan).
Fadzil berkata sebaik saja insiden itu berlaku, polis melakukan pemeriksaan menyeluruh di laluan yang mungkin penculik ambil.
“Kami memeriksa laluan itu tetapi disitu ada banyak jalan susur.
4.55pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Fadzil berapa rakaman CCTV yang telah diberi kepada jabatan forensik, dan dia menjawab dia tiada maklumat mengenai perkara itu.
Fadzil berkata pegawai penyiasat (Supari) ada maklumat itu.
Peguam bertanya, banyak rakaman CCTV dalam kes Koh dihantar ke jabatan forensik dan adakah polis mendapat sebarang imej suspek?
Fadzil menjawab mereka mendapat imej dari CCTV itu.
“Kami mendapat imej dari CCTV di tapak penculikan dan saksi, dan kami buat dua lakaran.
Peguam Koh bertanya kepada Fadzil jika mereka mendapat imej orang memakai topeng dari CCTV di lebuh raya.
Fadzil berkata tidak semua CCTV sejelas CCTV yang terdapat di bank atau pejabat.
“CCTV seperti itu boleh memberi imej jarak dekat, tetapi kami hanya mendapat imej nombor pendaftaran dari CCTV di lebuh raya.
4.25pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Fadzil berapa rakaman CCTV yang dimiliki polis, dan dia menjawab dua.
Kemudian peguam bertanya jika ada rakaman CCTV di Jalan Persiaran Tropicana.
Fadzil menjawab dia tidak ingat dan perlu buat semakan.
Peguam kemudian bertanya kepada Fadzil jika mereka mempunyai gambar, dan dia menjawab ya.
“Kami ada gambar dari banyak CCTV.”
Peguam kemudian bertanya sekiranya mereka boleh melihat gambar-gambar itu, dan Fadzil berkata gambar-gambar itu sedang disiasat dan ia sulit.
4.05pm: Siasatan berhenti rehat 10 minit.
4.00pm: Peguam Koh bertanya kepada Fadzil apakah dia akan tahu jika Koh diambil polis sebelum penculikannya, dan dia menjawab ya.
Peguam kemudian bertanya jika Cawangan Khas ada membuat sebarang siasatan ke atas Koh, dan dia menjawab ya.
Kemudian peguam menyoal Fadzil jika terdapat unit pasukan polis yang melaporkan kepada Jabatan Perdana Menteri.
Fadzil berkata dia bukan dalam Cawangan Khas dan dia tidak tahu.
Peguam bertanya adakah Khalid akan mendapat maklumat tentang Koh sekiranya dia meminta, dan Fadzil menjawab ya.
Fadzil berkata Khalid boleh mendapatkan maklumat dari mana-mana pegawai.
3.45pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Fadzil jika polis mengawasi Koh sebelum diculik, dan dia menjawab tidak.
Fadzil berkata dia hanya mengetahui mengenai kejadian di DUMC dan Koh menerima kiriman peluru.
“Berdasarkan kepada perkara itu (ancaman diterima Koh), kami telah membuka kertas siasatan.
3.15pm: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Fadzil berapa kali dia beri taklimat kepada Khalid.
Fadzil berkata, banyak kali.
Kemudian peguam memberitahu Fadzil yang Khalid berkata dia hanya diberi taklimat sebanyak dua kali oleh ketua CID Selangor.
Peguam bertanya jika Fadzil boleh mengesahkan yang dia memberi taklimat kepada Khalid lebih dari dua kali, dan dia menjawab ya.
Fadzil berkata dia sentiasa memaklumkan perkembangan kes kepada Khalid selain daripada taklimat.
“Semua kenyataan akhbar yang dibuat Khalid luar dari kawalan saya.”
2.55pm: Pegawai Suhakam bertanya kepada Fadzil adakah dia mempunyai sebarang petunjuk berkenaan kes Koh selepas 9 bulan berlalu.
Fadzil menjawab mereka mempunyai petunjuk tetapi ia perlu diproses dahulu.
Pegawai juga bertanya jika ada jabatan lain yang menyiasat kes ini.
Fadzil berkata setahunya, tiada.
2.45pm: Pegawai Suhakam bertanya kepada Fadzil jika semua kenyataan yang dibuat bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar datang darinya.
Fadzil tidak bersetuju dan berkata Khalid mungkin mendapat maklumat dari sumber lain.
“Ia tak semestinya dari saya.”
2.30pm: Pegawai menanyakan Fadzil adakah dia tahu semua siasatan yang dijalankan berkaitan kes Koh.
Fadzil menjawab dia sering dimaklumkan tentang semua yang dilakukan.
Pegawai bertanya kepada Fadzil adakah dia tahu semua siasatan yang dijalankan polis, dan dia menjawab ya.
Pegawai bertanya kepada Fadzil adakah dia tahu keluarga Koh kecewa kerana tidak menerima perkembangan kes.
Fadzil berkata dia tahu dan telah memberitahu pegawainya untuk memaklumkan keluarga Koh apabila mendapat perkembangan terkini.
2.25pm: Pegawai Suhakam bertanya kepada Fadzil adakah soalan mengenai Harapan Komuniti dan Kristianisasi yang ditanyakan kepada kepada keluarga Koh adalah sebahagian daripada siasatan.
Fadzil berkata Kristianisasi adalah salah satu sudut yang diteliti semasa siasatan.
Pegawai bertanya jika Fadzil menghantar Supari untuk menyiasat Harapan Komuniti, dan dia menjawab ya.
2.15pm: Pegawai Suhakam bertanya kepada Fadzil jika dia kenal atau pernah berjumpa Koh, dan dia menjawab tidak.
Pegawai kemudian bertanya bial dia mendapat tahu tentang kehilangan Koh dan dia menjawab pada 13 Februari.
Pegawai juga bertanya jika Koh disiasat oleh mana-mana jabatan dalam pasukan polis.
Fadzil menjawab dia tidak tahu.
2.05pm: Siasatan bersambung dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Ketua Penolong Pesuruhjaya Fadzil Ahmat memberi keterangan.
11.50am: Siasatan berhenti untuk makan tengahari dan akan disambung semula jam 2 petang.
11.45am: Suruhanjaya Mah bertanya kepada Supari jika setakat ini terdapat sebarang siasatan yang menunjukkan terdapat hubungan antara ketiga-tiga kes tersebut (Koh, Amri Che Mat, Joshua dan Ruth Hilmy).
Supari berkata asas penyelidikan setakat ini menunjukkan tiada wujudnya sebarang kaitan.
“Saya melihat kes Koh itu penculikan. Kes lain sebagai orang hilang.”
Mah bertanya apakah pandangan Supari berdasarkan kemungkinan adakah ia mempunyai kaitan dengan wang tebusan, pihak ekstremis atau salah faham.
Supari berkata ia kelihatan seperti aktiviti golongan ekstremis.
Mah bertanya kepada Supari jika pihak polis mengetahui sama ada Koh masih hidup dan dijawab “tidak tahu”.
11.40am: Pemerhati polis bertanya kepada Supari sebagai pegawai penyiasat dalam kes itu adakah dia meminta sebarang bantuan.
Pemerhati juga bertanya apakah dia tahu apa yang dilakukan oleh semua jabatan polis yang lain.
“Saya tidak pasti apa yang dilakukan oleh jabatan lain.
“Saya meneruskan siasatan terhadap kes itu. Jika ada maklumat baru saya akan bertindak selanjutnya.
Peguam keluarga Koh bertanya Supari adakah dia mengetahui yang Koh berada dalam tahanan polis, dia menjawab “tidak”.
11.25am: Pemerhati daripada Majlis Peguam bertanya Supari bilakah pihak polis menjalankan amaran diberi ke seluruh negara selepas laporan dibuat (pada 13 Februari).
Supari berkata amaran itu dihantar ke semua sempadan, pintu masuk dan keluar, lapangan terbang dan pelabuhan.
“Kami menghantar amaran selepas 12 tengah hari pada 13 Februari. Kami juga memaklumkan semua kontinjen di negara ini. Kami juga mempunyai spesifikasi kenderaan (kereta Koh).
“Jadi, setakat ini kami tidak menerima sebarang maklumat.”
11.10am: Peguam keluarga Koh bertanya Supari adakah pihak polis melakukan siasatan terhadap 78 laporan itu.
Supari berkata mereka meneliti semua laporan.
“Kami melihat laporan, tetapi kami tidak membuka sebarang kertas siasatan.”
Peguam bertanya sama ada pihak polis mengambil tindakan terhadap sesiapa berdasarkan laporan dan, dijawab “tidak” oleh Supari.
10.45am: Peguam keluarga Koh bertanya Supari jika pihak polis mengenal pasti orang yang membuat laporan polis.
Supari berkata dia tidak boleh mendedahkan siapa individu dan kumpulan berkenaan kerana maklumat itu sulit dan peguamnya perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Peguam kemudian bertanya Supari kandungan utama 78 laporan itu.
Supari berkata sebahagian besar laporannya mengenai DUMC, Harapan Komuniti dan juga termasuk Koh.
10.35am: Sesi inkuiri berhenti berehat 10 minit.
10.25am: Peguam keluarga Koh bertanya Supari mengenai serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 2011.
Peguam bertanya mengenai daripada 78 laporan polis yang diserahkan oleh pelbagai individu dan kumpulan terhadap perhimpunan di DUMC, berapa laporan yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Supari berkata Jais hanya membuat satu laporan mengenai serbuan di DUMC.
Peguam bertanya Supari mengenai kandungan 78 laporan itu.
Supari berkata laporan menyatakan individu yang membuat laporan itu tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di DUMC.
10.10am: Peguam keluarga Koh bertanya Supari mengenai isyarat telefon mudah alih terakhir yang mereka kesan daripada telefon Koh di Taman Mayang pada 13 Februari.
Peguam bertanya Supari bagaimana mereka mengetahui lokasi itu.
Supari berkata mereka mempunyai pasukan polis untuk mengesan lokasi telefon bimbit.
“Kita perlu memberi nombor telefon mudah alih dan mereka akan mengesan lokasi.”
Peguam kemudian bertanya Supari mengenai kelengkapan yang digunakan pegawai polis tetapi dijawab sebagai sulit.
Peguam kemudian menyoal Supari individu yang mengenal pasti lokasi telefon bimbit terakhir Koh.
Supari berkata dia memberikan nombor telefon bimbit kepada ASP Nazri untuk melakukan pemeriksaan.
“Nazri memeriksanya dan dalam masa 30 minit dia memberi kami lokasi di (Taman Mayang).”
10.00am: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Supari mengenai kamera Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mempunyai dihubungkan dengan IPD Petaling Jaya.
Supari berkata walaupun kamera MBPJ itu dihubungkan dengan IPD, mereka hanya boleh melihat melihatnya secara langsung dan tidak dapat merekodkan apa-apa.
Peguam kemudiannya bertanya berapa banyak monitor berada di stesen kawalan.
Supari berkata terdapat 20 monitor yang dipantau oleh kira-kira enam hingga tujuh pegawai pada satu-satu masa.
Peguam kemudian bertanya jika terdapat insiden ada fungsi “main semula” untuk melihat apa yang sudah berlaku.
Supari berkata mereka tidak mempunyai fungsi sedemikian.
“Jika kita mahu melihat semula apa yang berlaku, kita perlu pergi ke bilik kawalan MBPJ untuk melihat rakaman.”
9.45am: Pengawal keluarga Koh bertanya Supari sama ada mereka mendapat sebarang hasil daripada kesemua kamera yang diperiksa.
Supari berkata kamera tidak menunjukkan sebarang maklumat.
“Semua kamera yang kami periksa adalah negatif (tiada kelibat kenderaan).”
9.30am: Peguam keluarga Koh bertanya kepada Supari jumlah tol di Selangor dan Kuala Lumpur, yang dijawab Supari sebanyak 20.
Peguam seterusnya menyoal bilangan tol yang disiasat dan diberitahu Supari sebanyak 10 tol.
Peguam bertanya mengapa hanya 10 tol yang diperiksa dan dijawab, mereka hanya memeriksa kamera di kawasan terpilih kerana mengesyaki ia adalah laluan yang diambil oleh penculik.
9.20am: Peguam keluarga Koh menyoal Supari jika beliau mengenali individu yang pergi ke rumah Susanna Liew selepas mengambil kenyataannya dan sama ada beliau seorang pegawai polis.
Supari berkata sudah memeriksa dan tiada rekod mengenainya.
Peguam menyoal sama ada ia perkara biasa bagi pegawai polis menjalankan siasatan yang panjang dan kemudian pergi ke rumah individu disiasat dan dijawab beliau sebagai berkemungkinan.
9.10am: Siasatan itu diteruskan dengan ASP Supari Muhammad memberi keterangan. – 16 November, 2017.
Komen