Umno sasar 'kegagalan' Azmin untuk tawan pengundi di Kuang


Muzliza Mustafa Diyana Ibrahim

Muhammad Muhammad Taib semasa menyampaikan ceramah di Kuang, Selangor, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 November, 2017.

UMNO memulakan usaha mereka untuk menawan semula Selangor dengan menjalankan kempen di sebelah kerusi milik Menteri Besar Mohamed Azmin Ali di Gombak.

Di bandar Kuang yang aman, seramai 100 orang penyokong Umno hadir untuk mendengar ucapan pemimpin Umno yang baharu sahaja rujuk dengan parti dan bekas menteri besar Muhammad Muhammad Taib.

Walaupun, Kuang berada di bawah kawasan Parlimen Selayang, kerusi itu terletak betul-betul di sebelah kerusi Parlimen Azmin.

Kerusi negeri di bawah Gombak adalah Batu Caves, Gombak Setia dan Ulu Kelang manakala Selayang pula menaungi Kuang, Rawang dan Taman Templar.

Berdiri di depan 100 ahli, Muhammad, yang baru-baru ini menyertai Umno selepas tidak berjaya dengan PKR dan PAS, bersumpah untuk membantu Umno memenangi semula Selangor.

Pasukan Umno, yang diketuai oleh ketua perhubungan parti negeri Noh Omar, mensasarkan “kegagalan” Azmin sebagai menteri besar untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

Muhammad berkata Azmin gagal membantu orang Melayu dan tidak adil terhadap kaumnya sendiri.

“Kita perlu kembali ke laluan lama kerana hanya Umno-Barisan Nasional (BN) yang menjaga semua orang dengan baik. Orang Cina gembira, orang India gembira dan orang Melayu paling gembira,” kata pemimpin berusia 72 tahun itu.

Beliau berkata Azmin dan pemimpin pembangkang lain tidak melakukan apa-apa yang luar biasa untuk rakyat Selangor kerana semua perkembangan utama negeri datangnya daripada kepimpinan Umno sebelum 2008.

“2008 adalah tahun di mana ramai yang tidak berpuas hati dengan individu tertentu. Jadi, mereka cuba memberi pengajaran kepada orang itu dan mengundi pembangkang. Akhirnya, kita kehilangan Selangor. Ia tidak boleh berlaku lagi. Selangor perlu dikembalikan kepada Umno,” kata Muhammad.

Beliau menambah, setiap orang perlu memainkan peranan mereka kerana setiap undi begitu bermakna.

Muhammad berkata beliau dan bekas menteri besar Khalid Ibrahim, Abu Hassan Omar, dan Khir Toyo bertemu dengan Noh Omar dan mereka bersetuju bekerjasama untuk membantu BN merampas Selangor daripada pembangkang.

Seorang ahli Umno yang ingin dikenali sebagai Noraini berkata, jerayawara Umno di Selangor akan membantu menjelaskan isu-isu negara kepada pengundi.

“Bagus mengadakan jerayawara seperti ini. Kita tidak boleh mengelak. Pemimpin perlu mengadakan jerayawara untuk bercakap,” kata Noraini, yang menyertai Umno pada 1988.

Noraini mengaku parti itu berdepan kesukaran untuk memenangi hati golongan pengundi muda.

“Memang sukar untuk membaca sentimen mereka kerana mereka mempunyai akses kepada maklumat tanpa had,” kata Noraini.

Dia berkata isu kos hidup termasuk kenaikan petrol menyukarkan tugasnya meyakinkan para pengundi untuk menyokong Umno.

Muhammad Muhammad Taib semasa menyampaikan ceramah di Kuang, Selangor, malam tadi. Beliau berikrar untuk membantu Umno memenangi semula Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 November, 2017.

“Terdapat banyak anak muda di Klang. Kita perlu menjaga mereka. Kita perlu tahu bagaimana untuk menjelaskan isu-isu kepada mereka apabila mereka mempersoalkan kenaikan kos sara hidup.

“Saya mengakui lebih mudah untuk menjelaskan mengapa Anwar Ibrahim ditumbuk pada 1998 daripada menjelaskan peningkatan kos sara hidup kepada orang ramai sekarang,” kata Noraini.

Katanya, inilah sebab mengapa pemimpin muda Umno perlu turun ke bawah dengan lebih kerap.

“Kita perlu memenangi hati orang-orang muda. Mereka yang sebaya saya pasti akan memilih Umno. Tetapi sukar bagi generasi muda. Seperti anak-anak saya, walaupun kami tinggal serumah, mereka mungkin tidak akan mengundi Umno.

“Jadi, jika Umno mahu menang, ia perlu turun ke bawah,” katanya.

Seorang lagi ahli Umno, Mahad Yusof, 73, berkata akan tetap setia kepada parti kerana ia satu-satunya parti yang menjaga orang Melayu.

“Semasa ucapan, saya benar-benar suka di mana beliau berkata Umno menjaga kepentingan orang Melayu. Itu menarik perhatian saya. Jika mereka meneruskannya, Umno boleh memenangi semula Selangor,” katanya.

Turut hadir pada ceramah itu ialah bekas setiausaha PAS Selangor Norman Toha dan Adun Kuang Abdul Shukor Idrus.

Program “Siri Penerangan Isu-Isu Semasa” anjuran Umno Selangor ini adalah bagi persediaan menjelang pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan. – 16 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen