RAMAI mangsa banjir di Pulau Pinang bimbang mereka tidak akan mampu membangun dan memulihkankan semula kehidupan mereka.
Sebabnya: Golongan ini sudah sedia bergelut meneruskan kehidupan sebelum bencana. Kini, terpaksa pula mengorek duit simpanan yang tidak pernah ada untuk membaik pulih rumah mereka.
Mashitah Rambli dari Kampung Merbau Kudung di Tasek Gelugor adalah salah seorang daripadanya.
Dia terpaksa membuang hampir semua perabot dan peralatan elektrik selepas banjir kilat melanda rumah kampung satu tingkatnya yang memusnahkan barangannya.
“Tiada tempat untuk memindahkannya. Saya hanya dapat menyelamatkan kucing dan anak kucing saya,” kata ibu tunggal berumur 46 tahun itu.
Selepas akhirnya berjaya membersihkan rumah daripada kotoran mendapan banjir, Mashitah berkata dia kini terpaksa berdepan dengan satu perkara yang mustahil iaitu mencari ribuan ringgit untuk menggantikan beberapa perabot dan peralatan dapur.
Keluarga lima beranak itu sejak sekian lama bergantung kepada pendapatan isi rumah bulanan berjumlah lebih RM1,000, yang tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan mereka.
Selepas banjir surut dan sukarelawan membantu membersihkan rumah, Mashitah kembali ke rumahnya yang hampir kosong.
Keseluruhan ruang tamu dan ruang makannya kosong, semua katil tidak mempunyai tilam. Almari dan hampir semua barangan elektrik juga rosak.
“Kami tidak mempunyai simpanan untuk membeli apa yang diperlukan untuk menggantikan barang yang rosak,” kata Mashitah kepada The Malaysian Insight.
Situasi Mashitah yang tidak mempunyai wang tunai semasa kecemasan adalah sesuatu yang malang tetapi bukannya pengalaman unik bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Kajian dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai celik kewangan menunjukkan tiga daripada empat rakyat Malaysia berdepan kesukaran memperoleh walaupun RM1,000 bagi saat-saat kecemasan.
Kajian BNM 2015 itu menunjukkan majoriti rakyat Malaysia cenderung berbelanja untuk kepuasan segera berbanding merancang untuk jangka panjang. Hanya satu daripada empat orang yang mempunyai sebarang bentuk pelaburan.
Bagaimanapun, ahli ekonomi dan aktivis memberitahu The Malaysian Insight kadar simpanan yang rendah lebih banyak berkaitan dengan kenaikan perbelanjaan isi rumah berbanding tahap celik kewangan yang rendah.
Upah rendah dan kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan keluarga Mashitah tidak dapat memperuntukkan wang untuk saat kecemasan.
“Menantu lelaki saya adalah pencari nafkah tunggal keluarga. Dia bekerja sebagai mekanik, hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM800 sebulan,” kata Mashitah, yang menambah pendapatan isi rumah dengan menjual kek dan makanan ringan sebelum banjir.
“Saya pernah mendapat sekurang-kurangnya RM30 sehari ... ia tidak banyak tetapi membantu.”
Pendapatan tidak mencukupi
Ramai mangsa banjir yang lain tidak bersedia secara kewangan berdepan tahap kemusnahan yang berlaku akibat banjir itu kerana sebahagian besar mereka sekadar cukup makan.
Di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, salah satu kawasan paling teruk terjejas banjir di Pulau Pinang, penjaja mi Ooi dan keluarganya masih tidak tahu bagaimana untuk menampung kos membaiki segala kerosakan akibat banjir.
Keluarga ini mempunyai empat kereta yang perlu dibaiki. Mereka masih belum mengetahui berapa kos yang diperlukan untuk membaikinya tetapi berharap ia tidak begitu besar.
“Saya dan suami saya hanya menjual mi untuk menyara hidup. Tidak banyak yang boleh kami simpan. Hanya cukup-cukup sahaja,” kata Ooi yang berusia 55 tahun memberitahu The Malaysian Insight.
Katanya, keluarga itu berjaya menyelamatkan peralatan elektrik dan TV sebelum diselamatkan anggota penyelamat bersama dua anjing peliharaan. Mereka tidak dapat menyelamatkan katil, tilam, almari, rak buku dan perabot lain di rumah satu tingkat miliknya itu.
Seperti kebanyakan peniaga kecil di negeri ini, perniagaan mi mereka juga terjejas banjir.
Mereka telah menyimpan segala bahan mentah untuk masalah dan beberapa peti sejuk di satu kawasan kas di sebelah rumah. Bagaimanapun, semuanya rosak ketika banjir.
“Kita juga perlu membaiki peti sejuk. Saya tidak tahu berapa banyak kos yang diperlukan.
Bantuan kerajaan
Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan bantuan tunai sebanyak RM700 bagi setiap isi rumah dan perniagaan yang terjejas akibat banjir kilat. Wang tersebut akan dibayar pada akhir tahun ini.
Kerajaan negeri, yang menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM11.65 juta, juga mengumumkan beberapa inisiatif bantuan banjir untuk meringankan beban kewangan mangsa terjejas.
Beberapa inisiatif termasuk diskaun 50% untuk bil air pengguna domestik bagi satu kitaran (dua bulan), dan diskaun 25% untuk pengguna komersil untuk satu kitaran (satu bulan).
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang juga mengecualikan surcaj pemuliharaan air untuk satu kitaran kepada pengguna domestik, kerana ia menjangkakan peningkatan penggunaan air untuk membersihkan rumah.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai juga memberi diskaun 10% ke atas kadar taksiran bagi semua jenis hartanah. Dokumen kerajaan yang rosak atau hilang seperti geran tanah juga akan diganti secara percuma.
Kerajaan menganggarkan kira-kira 100,000 isi rumah terjejas oleh bencana itu.
Bagi Mashitah, walaupun bantuan kerajaan menjadi kelegaan besar kepada dia dan keluarga, realiti suram yang menanti adalah kehidupan tidak mungkin kembali normal seperti sedia kala.
Dia tidak dapat membantu keluarga mencari wang tambahan untuk memulihkan semula kehidupan mereka sekeluarga kerana semua peralatan yang membolehkannya memasak telah musnah.
“Banjir menyebabkan mata pencarian saya hilang. Saya tidak dapat membuat kuih sejak banjir berlaku.”
Mashitah berkata dia berharap agar peti sejuk dan modal RM500 yang ada untuk membeli bahan-bahan memasak untuk memulakan perniagaannya supaya dapat mencari rezeki semula.
“Ia sangat menyedihkan, (tidak boleh) berbuat apa-apa, dan tidak tahu apa yang boleh saya buat dan kepada siapa saya mahu meminta pertolongan.” – 16 November, 2017.
Komen