Marzuki sah dipecat jawatan setiausaha agung Bersatu


Diyana Ibrahim

Marzuki Yahya berkata surat pemecatan itu diserahkan kepadanya pada Rabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

MARZUKI Yahya mengesahkan beliau dipecat sebagai setiausaha agung Bersatu oleh Presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Bekas timbalan menteri itu berkata surat pemecatan itu diserahkan kepadanya pada Rabu.

“Ya saya terima surat itu kelmarin,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas mengenai satu surat menyatakan pemecatannya bertarikh 18 Mac 2020 yang tular di media sosial hari ini.

Surat yang ditandatangani Muhyiddin itu antara lain meyebut pemecatan itu selaras dengan Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu dan berkuat kuasa serta-merta.

Surat itu bagaimanapun tidak menyatakan alasan pemecatan.

Marzuki dikenali sebagai penyokong kuat pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya adakah beliau menerima pemecatannya itu katanya, beliau akan merujuk kepada pengerusi Bersatu terlebih dahulu.

Katanya beliau tidak pasti adakah pemecatannya itu dirujuk terlebih dahulu dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir.

“Saya tak pasti dia sudah berbincang dengan Dr Mahathir, pengerusi Bersatu seperti dalam perlembagaan parti.

“Saya akan rujuk dulu dengan pengerusi,” katanya.

Beliau berkata tidak tahu apakah sebab pemecatannya apabila ditanya.

Bersatu berdepan dengan konflik dalaman susulan daripada pertukaran kerajaan dan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

24 Februari lepas, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu selepas Muhyiddin mengumumkan parti itu keluar meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun satu mesyuarat parti dipengerusikan oleh Muhyiddin kemudiannya menolak peletakan jawatan Dr Mahathir.

Minggu lepas Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menawarkan diri bertanding sebagai pengerusi dalam pemilihan parti itu. – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen