Singapura biaya penginapan pekerja Malaysia


Chan Kok Leong

Kira-kira 300,000 rakyat Malaysia dibenarkan terus bekerja di Singapura sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

SINGAPURA akan membiayai penginapan untuk pekerja rakyat Malaysia di republik itu bagi tempoh dua minggu ini, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri pertahanan berkata perkara berkenaan sudah dipersetujui menerusi perbincangan dalam mesyuarat bersama Singapura hari ini.

Semalam, beliau memberitahu media bahawa Malaysia sedang berunding dengan negara jirannya di selatan berkenaan membenarkan kira-kira 300,000 rakyat Malaysia meneruskan kerja di sana sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Malaysia mencadangkan idea itu dengan syarat Singapura menyediakan tempat tinggal untuk pekerja tejejas, katanya.

“Selepas tempoh perintah kawalan pergerakan itu, Singapura akan menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap mereka sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan dua jawatankuasa bersama untuk menangani krisis koronavirus.

“Satu jawatankuasa kementerian yang akan diketuai oleh saya dan menteri pertahanan Singapura, sementara yang kedua ialah jawatankuasa kerja diketuai Wisma Putra.

“Kerajaan negeri Johor juga akan termasuk di dalamnya kerana ia membabitkan mereka.”

Ismail Sabri berkata beliau berharap orang ramai akan berhenti membaca dan berkongsi berita palsu.

“Semalam, ada berita palsu tentang Kementerian Pertahanan, katanya ada perintah berkurung atau isytihar darurat. Tidak ada perkara itu.

“Dikatakan juga tentera udara akan buat semburan racun serangga pada tengah malam. Itu juga tidak betul.

“Jadi tolong berhenti sebar berita palsu kerana kita tidak mahu berlaku lagi pembelian panik.”

Ismail Sabri berkata 94 rakyat Malaysia yang berkara di Itali akan pulang pada Isnin, sementara 25 di Iran akan pulang dua hari kemudian.

“Mereka akan diuji dan dikuarantin selama 14 hari,” katanya. – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen