BEBERAPA peguam Sarawak mempersoalkan pertimbangan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob untuk mengerahkan tentera sebagai pilihan terakhir bagi melaksanakan perintah kawalan pergerakan.
Dominique Ng berkata kerahan tentera sewaktu suasana aman hanya boleh dipertimbangkan jika berlaku pelanggaran undang-undang dan gangguan ketenteraman seperti rusuhan berleluasa dan pertumpahan darah.
“Tiada justifikasi untuk kerajaan menggunakan tentera dalam situasi semasa pandemik Covid-19 di negara kita,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Ismail tentang kemungkinan mengerah tentera jika orang ramai masih ingkar perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 dalam tempoh 14 hari.
Ismail Sabri berkata jika keadaan masih tidak dapat dikawal sepenuhnya, kemungkinan besar tentera akan digunakan.
“Saya percaya tidak perlu, tetapi jika tidak ada pilihan—pematuhan masih kekal setakat 60 peratus ke 70 peratus—saya percaya kemungkinan besar tentera akan digunakan,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Ng berkata polis masih merupakan pilihan yang sesuai untuk mengendalikan hal awal dalam situasi aman.
“Polis dilatih dan bersedia dalam semua situasi awam walaupun berlaku pergolakan sosial, tunjuk perasaan dan pengingkaran awam.”
Ng yang merupakan aktivis hak asasi berkata kerajaan bagaimanapun boleh menggunakan aset dan tenaga tentera untuk membina kem sebagai hospital sementara jika ada keperluan.
Selain itu, tentera boleh dikerah untuk membantu polis jika berlaku kekurangan tenaga kerja.
“Dalam erti kata lain, peranan tentera ketika ini adalah untuk membantu pihak berkuasa berdepan pandemik ini.” – 19 Mac, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen