SARAWAK sedang mempersiapkan tiga tempat di Samarahan untuk digunakan sebagai pusat kuarantin bagi menghadapi kemungkinan lebih ramai individu bawah siasatan (PUI) perlu diasingkan disebabkan wujud kebimbangan mereka positif Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Douglas Uggah hari ini berkata yang Institut Kemajuan Pedalaman (Infra) cawangan Sarawak, Institut Pentadbiran Awam Negara (Intan) Sarawak dan Institut Latihan Perguruan Tun Abdul Razak sedang dipersiapkan menjadi pusat kuarantin sekiranya Hospital Umum Sarawak dan Kolej Kesihatan Awam Sarawak di Kota Sentosa tidak lagi mampu menampung pesakit.
Kolej kesihatan itu dilaporkan hanya mampu menampung 60 orang.
Setakat jam 3 petang tadi, jumlah PUI yang dikuarantin di hospital dan kolej sementara menunggu keputusan ujian adalah seramai 340 orang.
Hari ini, 28 orang pagi dikategorikan sebagai PUI.
“Kita perlukan (pusat baharu) sekiranya terlalu ramai,” kata Uggah selepas memeriksa tiga kawasan tersebut yang terletak antara 16km sehingga 20km dari bandar Kuching.
Uggah yang juga timbalan ketua menteri Sarawak berkata kampus Infra boleh digunakan dalam tempoh tiga hari lagi.
Beliau turut memberi jaminan kepada penduduk berhampiran yang hanya kes PUI akan dihantar ke tempat kuarantin itu dan bukannya kes sah positif.
Tambah Uggah lagi, pusat kuarantin juga akan “dikawal sepanjang masa” dan “tiada pelawat dibenarkan masuk”.
Selain tiga kawasan itu, Sarawak juga menyiapkan Kem Belia Kemuyang di Sibu, Perkampungan Sukan Petronas di Miri dan Taman Negara Similajau di Bintulu sebagai pusat kuarantin tambahan di negeri itu.
Walaupun Sarawak hanya melaporkan satu kes positif Covid-19 hari ini, Uggah tidak mahu menunggu situasi bertambah buruk sebelum bertindak.
Sejak Jumaat lepas (13 Mac) apabila tiga kes pertama di Sarawak dilaporkan, jumlah kes mendadak meningkat kepada 50, dengan satu kematian.
Dua kes di Sarawak melibatkan lelaki yang hadir di majlis tabligh di Masjid Seri Petaling, dan salah seorang daripada mereka turut menjangkiti isterinya.
Majlis agama itu menjadi pusat meledaknya wabak dengan hampir 75% kes di Semenanjung dikaitkan dengannya.
Setakat hari ini, 900 kes positif Covid-19 dilaporkan di Malaysia. – 19 Mac, 2020.
Komen