HANYA pasar awam dibenar buka ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, kata soalan lazim (FAQ) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dikeluarkan jam 6 petang tadi.
“Kesemua jenis pasar seperti pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar juadah, bazar dan jualan bonet kereta akan ditutup,” kata kenyataan itu.
Menurut FAQ Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, pasar ditakrifkan sebagai mempunyai struktur bangunan kekal.
FAQ KPKT turut menyebut yang restoran, penjaja kecil, kenderaan saji, gerai statik penempatan penjaja sementara dan kiosk makanan boleh beroperasi.
“Pelanggan tidak dibenarkan untuk makan di premis berkenaan dan peniaga hanya dibenarkan untuk menjual makanan melalui kaedah pembungkusan (take away), penghantaran (delivery) atau pandu lalu (drive thru) sahaja,” kata KPKT.
Kenyataan juga menyebut yang kutipan sisa akan berjalan seperti biasa di Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang seperti termaktub di bawah Akta 627 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, dan bagi negeri yang tidak menggunakan akta tersebut, tanggungjawab pengurusan sisa sampah adalah di bawah pihak berkuasa tempatan.
Berkaitan urusan perlesenan, orang awam masih boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk memohon permit pengiklanan, lesen pemaju dan lain-lain.
Manakala, permohonan untuk program perumahan awam juga boleh dilakukan menerusi pautan https://teduh.kpkt.gov.my atau https://sprn.kpkt.gov.my.
Walaupun Jabatan Bomba dan Penyelamat akan terus berfungsi seperti biasa, semua perkhidmatan kaunter dan pemeriksaan bangunan ditangguhkan sementara waktu, kata KPKT lagi. – 19 Mac, 2020.
Komen