Sarawak arah restoran, gerai makan tutup pukul 8 malam


Desmond Davidson

Arahan penutupan semua premis makanan di Sarawak selaras dengan perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2020.

SEMUA premis makanan di Sarawak termasuk restoran, medan selera, kopitiam dan gerai di pasar perlu ditutup pada pukul 8 malam setiap hari.

Arahan daripada Kememnterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dikuatkuasakan malam tadi tetapi hanya diumumkan pada hari ini.

Dalam satu pekeliling yang ditandatangani Setiausaha Tetap kementerian itu, Antonio Kahti Galis untuk edaran semua majlis perbandaran, arahan penutupan itu berkuatkuasa sehingga notis selanjutnya.

Galis berkata arahan itu selaras dengan perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin dan mula berkuatkuasa semalam untuk membendung penularan virus Covid-19 yang kini meragut dua nyawa di Malaysia.

Seorang daripada mangsa merupakan pastor berusia 60 tahun dari Kuching.

Pekeliling itu turut mengarahkan semua pihak berkuasa memastikan arahan itu dipatuhi.

Semua restoran dan kedai makanan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang.
 
Semalam, Datuk Bandar Kuching Selatan Wee Hong Seng berkata beliau mendapati sebuah lokasi popular sarapan pagi di pasar Taman Kenyalang dipenuhi pengunjung.

Dalam satu hantaran menerusi Facebook, Wee memberi amaran untuk menutup keseluruhan kawasan itu jika pemilik gerai berdegil membenarkan pengunjung makan di gerai mereka. – 19 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen