Tentera dikerah jika masih ramai keluar rumah, kata menteri


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata hanya 60% rakyat Malaysia mematuhi perintah yang berkuatkuasa semalam. – Gambar rakam layar, 19 Mac, 2020.

PASUKAN tentera mungkin dikerah untuk memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa semalam hingga 31 Mac, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana kadar pematuhan perintah berkenaan setakat semalam hanya sekitar 60% dengan penguatkuasaan oleh pasukan polis, katanya dalam satu sidang media.

“Setakat semalam hanya 60% sahaja pematuhan, sebab itu pihak polis menggerakkan anggota mereka untuk mengawal keadaan dengan mengadakan sekatan sekatan jalan raya.

“Kalau tiada pilihan, kadar pematuhan kekal 60% atau 70%, saya percaya kemungkinan besar tentera akan dikerahkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, setakat semalam sebanyak 504 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh negara dengan 6,135 kenderaan diperiksa.

“Setakat hari ini polis ambil tindakan berhemah, iaitu menasihati sahaja, dan saya percaya kalau pematuhan ini masih tidak meningkat, akhirnya pihak polis terpaksa menggunakan undang-undang dan mengenakan tindakan yang lebih tegas lagi.

“Saya rasa perkara ini mungkin tidak perlu dilakukan kalau pematuhannya meningkat,” katanya, lagi. – 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen