Perang dunia lawan Covid-19 perlu langkah drastik


Salhan K. Ahmad

Seorang lelaki berjalan di depan lukisan grafiti tentang koronavirus di Kuala Lumpur. Hari ini masuk hari kedua perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan di negara ini. – Gambar EPA, 19 Mac, 2020.

PERANG menentang jangkitan wabak Covid-19 memerlukan senjata ampuh. Waktu ini kita sudah menggunakan sebahagian daripada arsenal yang ada.

Pergerakan dihadkan. Pertemuan besar dilarang. Kesucian diri dan jarak antara individu dijaga. Kegiatan ekonomi juga dihadkan untuk mengawal pergerakan orang.

Pada masa sama, industri dan perkhidmatan kritikal tertentu yang diluluskan Kementerian Kesihatan dibenarkan untuk terus berfungsi untuk menjamin operasi menentang wabak ini.

Namun kegiatan syarikat ini nampaknya terpisah-pisah dalam usaha kecil, mengikut keperluan sahaja dengan syarat ketat yang perlu diikut.

Kita perlu lihat di hadapan kita kelak, bencana kesihatan ini menjadi kegawatan ekonomi. Kita tidak tahu betapa besar dan dalamnya kegawatan ini, tetapi ia pasti.

Di negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), pasaran saham dibantai teruk. Kerajaan memberi jaminan akan memberi bantuan modal untuk memastikan bangsa korporatnya tidak begitu merana.

Presiden AS mengumumkan suntikan modal berjumlah ratusan bilion ringgit, tetapi tidak membantu meyakinkan pelabur.

Adakah Malaysia akan mengambil langkah sama pada waktu krisis ini? Membantu kaum pemodal mengekalkan kekayaan sewaktu seluruh negara dilanda bencana?

Kita perlu lihat keadaan pada waktu ini sebagai perang sedunia menentang wabak Covid-19 yang tak kenal agama, warna kulit, jantina, anutan fahaman ekonomi dan politik.

Perang ke atas manusiawi ini memerlukan langkah manusiawi.

Kita boleh lihat negara yang terlibat dalam Perang Dunia II menggembleng sektor swasta untuk memenangi perang waktu itu – perang manusia bunuh manusia.

Hasilnya syarikat yang mendapat kontrak perang waktu itu menjadi begitu besar, namun kini amat merana akibat serangan global Covid-19 dan berisiko muflis.

Perang yang kita hadapi waktu ini adalah melawan kuman halus.

Oleh itu senjata yang paling diperlukan adalah peralatan kesihatan dan rawatan untuk menghadapi peningkatan jumlah jangkitan lebih teruk dan kematian.

Langkah drastik yang boleh dibuat adalah menggabung dan mengambil alih syarikat tertentu menjadi milik negara untuk membolehkannya mengeluarkan senjata dan keperluan perang melawan kuman ini.

Ia perlu disediakan segera kerana gelombang ketiga serangan bakal menerpa. Tiada lagi ekonomi yang boleh dipertahan jika rakyat jadi korban Covid-19. – 19 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen