Ribut landa Muktamar PAS, khemah tumbang akibatkan orang ramai cedera


Melati A. Jalil Diyana Ibrahim

Ambulans kelihatan di Komples PAS Kedah bagi membawa orang yang cedera selepas beberapa khemah tumbang akibat dilanda rebut petang tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 April, 2017.

BEBERAPA orang mengalami kecederaan apabila ribut kuat melanda dan menumbangkan beberapa khemah di Ibu Pejabat PAS Kedah petang tadi di mana muktamar ke-63 parti itu diadakan.

Seorang pegawai PAS mengesahkan terdapat beberapa orang cedera, sambil menambah Jabatan Perkhidmatan Bomba dan polis berada di tempat kejadian untuk menjalankan kerja menyelamat.

Peserta muktamar lain kini berkumpul di dalam bangunan utama.

Beberapa ambulans juga bergegas ke tempat kejadian dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

Seorang peniaga yang berada di tempat kejadian terkejut apabila bumbung di kawasan tapak niaganya tiba-tiba tercabut.

Peniaga dari Kuala Lumpur itu berkata insiden berlaku kira-kira jam 7.30 malam pada waktu Maghrib.

“Ketika itu saya berniaga, tiba-tiba ribut kuat dan menerbangkan bumbung khemah hingga menghempap khemah lain,” katanya.

Peniaga yang dilihat masih terkejut, bersyukur kerana berkesempatan menyelamatkan diri.

“Saya amat terkejut. Langsung tidak ingat apa dan terus lari, tetapi ada kawan yang tidak dapat menyelamatkan diri,” katanya yang tidak jelas dengan nasib yang menimpa rakannya itu.

“Pada masa kejadian, memang ramai yang berada di dalam khemah.”

The Malaysian Insight cuba mendapatkan kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai jumlah cedera namun dihalang Jabatan Amal PAS yang bertindak menutup pintu utama kawasan muktamar.

Sementara itu, wakil tidak rasmi bomba memberitahu seramai 13 mangsa dibawa ke hospital dan lima lagi dirawat sebagai pesakit luar. – 29 April, 2017.

Kejadian ribut mengakibatkan beberapa khemah pada Muktamar PAS ke-63 tumbang dan mencederakan orang ramai. – Gambar The Malaysian Insight, 29 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen