KESAN buruk tetapi sekejap disebabkan perintah kawalan pergerakan lebih baik berbanding membiarkan wabak Covid-19 terus membelenggu negara ini dalam tempoh yang panjang, kata penganalisis ekonomi.
Ini kerana usaha merangsang ekonomi di Malaysia dan seluruh dunia mungkin tidak berjaya, kata mereka, memandangkan pasaran saham terus menjunam disebabkan wabak maut itu.
Covid-19 juga sudah memusnahkan keyakinan pelanggan yang membentuk kepenggunaan dan permintaan, kedua-dua aspek itu memacu perniagaan. Virus maut itu kini sudah berada di lebih 150 buah negara dan menjangkiti lebih 200,000 di seluruh dunia.
Putrajaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang menyebabkan penutupan sektor awam dan swasta yang tidak penting bermula semalam sehingga 31 Mac untuk mengawal penularan wabak itu.
Penganalisis ekonomi berkata penutupan itu walaupun perit tetapi ia satu keperluan, bagaimanapun kerajaan sepatutnya berusaha membantu perniagaan berdepan cabaran ini bagi mengelak mereka membuang pekerja.
Ini bagi membolehkan apabila perintah itu ditarik balik, perniagaan terutama industri kecil dan sederhana (PKS) boleh kembali bersaing dengan cepat.
“Keutamaan kerajaan sekarang adalah melawan wabak dan melindungi kesihatan awam. Hanya selepas itu keyakinan dapat dikembalikan,” kata penganalisis ekonomi Lee Heng Guie.
“Ia keputusan sukar yang akan menganggu dan menyusahkan banyak pihak dan ekonomi akan terjejas teruk,” kata Lee yang menerajui Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC).
“Tetapi lebih baik sakit sekarang daripada masalah berlanjutan. Awak tak boleh berterusan potong kadar faedah dan suntik lebih banyak wang,” kata Lee lagi, menambah yang itulah kaedah diambil Bank Simpanan Persekutuan AS untuk merangsang ekonomi.
Bank pusat itu memotong kadar faedah sehingga hampir sifar tetapi pasaran saham terus menjunam apabila wabak Covid-19 makin buruk di AS dan Eropah, kata Lee.
“Pemotongan kadar faedah tidak akan melawan virus itu. Kerana itulah perintah (kawalan pergerakan) itu penting dan perlu.”

Menempuh masa mencabar
Perintah kawalan pergerakan itu antara lain mengarahkan penutupan sementara semua premis perniagaan kecuali yang dikategorikan sebagai penting - air, elektrik, telekomunikasi, pos, pengangkutan, minyak dan gas, bank, kesihatan, farmasi, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan dan makanan.
Industri menjangkakan kesan perintah itu besar malah ada majikan mempertimbangkan memberi cuti tanpa gaji atau membuang pekerja mereka.
Pakar ekonomi Dr Yeah Kim Leng berkata masih terlalu awal untuk menilai skala kesan penutupan dua minggu itu, tetapi dijangkakan ia lebih buruk daripada anggaran awal kerajaan.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata wabak Covid-19 setakat ini sudah menghakis 0.8% sehingga 1.2% keluaran dalam negara kasar, dengan anggaran kerugian mencecah RM17.3 bilion.
“Angka itu akan disemak semula pada masa akan datang dan kesannya berdasarkan selama mana penutupan berlaku,” kata Yeah dari Universiti Sunway.
Beliau turut mempersoalkan usaha mitigasi kerajaan untuk mengurangkan kesan penutupan kepada PKS yang kebanyakannya berdepan masalah aliran dan simpanan tunai.
“PKS yang tidak ada simpanan tunai berdepan risiko gulung tikar kerana tidak ada pendapatan dan mereka tak boleh terus menggaji pekerja. Mereka perlukan kapital untuk terus bertahan.”
Perniagaan dalam sektor seperti perniagaan, pelancongan, hospitalitit dan peruncitan adalah antara yang paling teruk terjejas kerana wabak itu sebelum perintah kawalan pergerakan dikeluarkan dan paling berisiko gulung tikar.
Yeah berkata kerajaan perlu tampil dengan bantuan tambahan kepada PKS dalam sektor terjejas, termasuklah meminta bank melanjutkan tempoh pembayaran pinjaman atau sokongan pendapatan.
“Ini adalah tempoh getir kerana ia akan membantu mereka bertahan dan memastikan pemulihan berjalan lancar.
“Membiarkan perniagaan muflis boleh mendatangkan kesan buruk kerana ia akan memusnahkan kapital dan menjejaskan ekonomi,” katanya. – 19 Mac, 2020.
Komen