Mayat mangsa Covid-19 pertama dibakar


Desmond Davidson

Petugas hospital lengkap berpakaian pelindung perubatan membawa keluar keranda dari hospital umum Sarawak. – 18 Mac, 2020.

DALAM masa beberapa jam selepas kematiannya, mayat mangsa Covid-19 yang pertama di negara ini dibawa keluar dari Hospital Besar Sarawak terus ke Taman Peringatan Nirvana di Kuching untuk upacara pembakaran mayat.

David Cheng, Pastor Gereja Emmanuel Baptist (EBC) di Taman Hui Sing di Kuching meninggal dunia pada jam 11 pagi semalam setelah dia disahkan positif jangkitan virus itu Ahad lalu.

Dia dilaporkan dimasukkan ke unit rawatan intensif (ICU) kerana sukar bernafas.

Masih tidak jelas sama ada ahli keluarga atau saudara mara hadir untuk upacara pembakaran mayat dan sama ada abu lelaki berusia 63 tahun itu ditanam di taman itu iaitu 31 kilometer di Kuching – Jalan Bau.

Isteri Cheng dan anak perempuan berusia 21 tahun dikuarantin di hospital selepas turut dijangkiti virus berkenaan.

Seorang kawan Cheng berkongsi foto keranda yang dibawa keluar dari hospital oleh tiga anggota perubatan dalam pakaian pelindung perubatan lengkap.

Dua pengawal keselamatan hospital juga dilihat menyekat jalan yang dilalui oleh petugas berkenaan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang mengesahkan kematian itu berkata Jabatan Kesihatan masih dalam proses mengenal pasti sumber jangkitannya.

Dalam masa sama jawatankuasa itu menyatakan 193 orang telah ada hubungan kontak dengan Cheng dikesan dan dikuarantin di rumah.

Antara mereka ialah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Abdul Karim Hamzah dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii kerana kesemua mereka mengadakan pertemuan semula. – 18 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen