SUASANA di pusat membeli-belah Sunway Pyramid lengang pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bagi membendung wabak Covid-19.
Banyak premis ditutup dan hanya pasar raya dan perniagaan yang tersenarai dalam perkhidmatan perlu sahaja dibuka.
Anggota polis bantuan juga ditempatkan di pintu masuk pusat membeli-belah itu untuk memeriksa suhu badan setiap orang yang masuk.
Antara premis yang dibuka adalah rangkaian farmasi seperti Caring, Watson’s dan Guardian.
Bagi premis makanan pula, hanya Nando’s, Texas Fried Chicken dan McDonalds sahaja dibuka, tetapi hanya untuk makanan dibawa pulang dan penghantaran.

Beberapa premis makanan seperti Chendol Penang tutup dan kelihatan pekerja sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.
Kedai serbaneka MyNews juga dibuka untuk pelanggan. Sebuah lagi kedai serbaneka Daiso yang terkenal dengan harga murah, kosong tiada pelanggan.
Semua kedai bukan menjual ubatan, makanan dan barangan keperluan di Sunway Pyramid ditutup.
Di pasar raya Aeon pula, tidak ramai pelanggan yang datang membeli barangan dapur. – 18 Mac, 2020.
Komen