Tak tahu kena tutup atau boleh buka, kata klinik veterinar


Chan Kok Leong

Ketua doktor haiwan St Angel Dr Ding Chee Min yang menguruskan klinik haiwan 24 jam itu selama hampir 10 tahun, berkata perintah itu tidak jelas berkaitan klinik veterinar. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

KLINIK veterinar masih belum pasti sama ada mereka dibenarkan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan yang akan bermula esok sehingga 31 Mac untuk mengekang sebaran wabak Covid-19.

Walaupun perintah ada menyebut bahawa perkhidmatan kesihatan dan farmasi adalah antara perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi, tidak jelas sama ada ia turut meliputi perkhidmatan veterinar.

Pagi tadi, di Pusat Perubatan Haiwan St Angel, Puchong, terdapat barisan panjang pengguna yang mahu mahu membeli makanan, ubat-ubatan dan pelbagai barangan lain untuk haiwan peliharaan mereka di pusat itu yang mula dibuka sejak 10 pagi.

Seorang pencinta haiwan, Wan Syakiran Mohd Rasdi berkata beliau membelanjakan RM500 untuk membeli makanan kuching dan anjing pagi tadi, selepas berbelanja RM1,000 membeli barangan sama semalam.

“Banyak kedai seperti restoran dan pejabat akan ditutup bermula esok. Jadi, siapa yang akan beri makan kuching dan anjing terbiar,” kata pemilik agensi pelancongan itu.

“Seseorang perlu fikirkan tentang mereka juga, kerana mereka pun perlu makan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata beliau tidak risaukan dirinya kerana pasar raya masih akan dibuka tetapi masih tidak jelas tentang waktu operasi klinik dan kedai haiwan.

Wan Syakirah yang selalu memberi makanan kepada haiwan terbiar bersama kakak iparnya di sekitar Sri Kembangan dan Cyberjaya berkata, beliau juga meminta bantuan kakitangannya untuk membeli makanan haiwan bernilai lebih RM1,000 semalam, sebelum kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan itu.

Ia adalah untuk 15 kucing peliharannya serta haiwan terbiar yang ditemuinya.

Wan Syakiran Mohd Rasdi berkata beliau membelanjakan RM500 untuk membeli makanan kuching dan anjing pagi tadi, selepas berbelanja RM1,000 membeli barangan sama semalam. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

Dalam perutusan khas malam tadi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa 18 sehingga 31 Mac.

Arahan itu melibatkan penutupan operasi perkhidmatan tidak penting. Manakala, perkhidmatan penting yang dinamakan dan dibenarkan beroperasi termasuklah air, elektrik, telekomunikasi, pos, pengangkutan, minyak dan gas, bank, kesihatan, farmasi, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan dan makanan.

Ketua doktor haiwan St Angel Dr Ding Chee Min yang menguruskan klinik haiwan 24 jam itu selama hampir 10 tahun, berkata perintah itu tidak jelas berkaitan klinik veterinar.

Beliau sendiri tidak pasti sama ada kliniknya dibenarkan beroperasi esok.

“Masih tiada komunikasi daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkaitan perkara ini.

“Kami akan cuba malam ini dengan buka sehingga tengah malam,” kata Dr Ding.

“Kami tak boleh tutup sepenuhnya kerana ada haiwan di sini yang memerlukan perhatian harian kerana sedang dirawat.

“Paling buruk, pekerja kami akan berada di sini untuk beri air dan makanan kepada haiwan,” tambahnya yang mendesak kerajaan menjelaskan kedudukan klinik veterinar.

Kekurangan maklumat mengenainya juga menyebabkan pemilik haiwan bergegas membawa haiwan peliharaan mereka yang cedera atau sakit untuk pemeriksaan.

Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Kiew berkata kucingnya berusia tujuh tahun dirawat di hospital haiwan itu selepas cedera.

“Dia dirawat sejak 10 hari lepas kerana cederanya agak teruk.

“Sekarang saya kena tahu sama ada saya kena bawa balik atau saya masih boleh tinggalkannya di sini,” kata peniaga berusia 55 tahun itu.

“Saya harap klinik veterinar akan terus dibuka kerana saya tak tahu bagaimana hendak cuci luka kucing saya setiap hari.”

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan senarai soalan jawapan wajib tahu tengahari tadi, 16 jam selepas pengumuman Muhyiddin, tetapi ia tidak menyebut tentang kedudukan klinik veterinar. – 17 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen