Bolehkah rakyat Malaysia berjalan dalam negara, soal bekas menteri


Chan Kok Leong

Anthony Loke mempersoalkan kebenaran pergerakan dalam negara yang tidak jelas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2020.

ANTHONY Loke mahukan jawapan sekiranya perintah kawalan pergerakan juga melibatkan perjalanan dalam negara.

Bekas menteri pengangkutan itu berkata perintah dikeluarkan semalam tidak menyatakan sama ada rakyat Malaysia masih boleh melakukan perjalanan dalam negara, kerana ia hanya menyebut larangan pergi ke luar negara.

Beliau juga menyatakan perintah itu yang turut melibatkan larangan ke Singapura menjejaskan mereka yang berulang-alik ke negara itu setiap hari untuk bekerja.

“Ada hampir 300,000 orang Malaysia yang berulang alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja. Adakah ini bermaksud mereka tak boleh bekerja di Singapura lagi sepanjang tempoh itu kerana sempadan akan ditutup pada tengah malam,” katanya pada sidang media video bersama dua orang menteri lagi.

“Ia juga akan menjejaskan rakyat Malaysia yang berniaga di sempadan Thailand,” kata Loke.

Sidang media tertutup itu turut dihadiri bekas menteri perdagangan dalam negeri dan bekas menteri Wilayah Persekutuan.

Wartawan yang menonton sidang media itu kemudiannya menaip soalan mereka di dalam kumpulan sembang WhatsApp Pakatan Harapan yang diselia oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, sebelum ia diajukan kepada ketiga-tiga bekas menteri itu.

Ahli Parlimen Seremban itu menyatakan perintah dikeluarkan semalam tidak menjelaskan sama ada ia meliputi pergerakan dalam negara.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan usaha kerajaan bagi memastikan kestabilan syarikat penerbangan negara disebabkan perintah itu.

“Adakah penerbangan antarabangsa akan dihentikan dan kerajaan akan membayar pampasan? Ada kesan kepada slot penerbangan sekiranya kita menghentikan penerbangan sekarang,” kata Loke. – 17 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen