PUTRAJAYA perlu memberi penerangan yang jelas mengenai mekanisme memastikan bekalan makanan mencukupi ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, kata pembangkang.
“Kita mengalu-alukan pengumuman perdana menteri yang sekaligus menunjukkan kerajaan serius dalam menangani Covid-19.
“Kenyataan perdana menteri yang berupa jaminan bahawa dalam kemelut ataupun ancaman Covid-19 ini jaminan bekalan makanan mencukupi adalah sesuatu yang melegakan.
“Pada masa yang sama Pakatan Harapan ingin melontarkan beberapa persoalan. (Mengenai) Jaminan semata-mata tanpa kita diberikan satu penerangan yang jelas tentang bagaimana mekanismenya, bagi memastikan bekalan makanan mencukupi,” kata Saifuddin Nasution Ismail menerusi telesidang media yang disiarkan langsung di Facebook hari ini.
Setiausaha agung PKR itu berkata ini kerana Malaysia adalah negara yang bergantung kepada import makanan.
“Nilai import makanan kita untuk tahun lepas adalah RM51 bilion. Kita import ikan, kita import daging, bawang dan segala macam keperluan rakyat.
“Ancaman ini berlaku di seluruh dunia, dan ini membabitkan negara-negara di mana kita membeli makanan ini. Sudah tentu kerajaan harus menerangkan dengan lebih jelas bagaimanakah jaminan bekalan makanan mencukupi itu.
“Mesti disertai dengan penerangan bagaimana mekanisme pelaksanaannya,” jelas beliau.
Telesidang video itu turut disertai oleh bekas menteri pengangkutan Anthony Loke dan bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad. – 17 Mac, 2020.
Komen