Jangan panik sebab makanan, topeng muka cukup, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Pembelian panik yang dikesan mula dilakukan pengguna di beberapa bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2020.

MUHYIDDIN Yassin memberi jaminan bekalan bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan mencukupi apabila perintah kawalan pergerakan dikuatkuasa Rabu untuk mengekang jangkitan Covid-19

Perdana menteri berkata demikian bagi menangani pembelian panik yang dikesan mula dilakukan pengguna di beberapa bandar.

“Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang.

“Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini berkuatkuasa,” katanya.

Dalam pengumuman disiarkan langsung malam ini, Muhyiddin berkata pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka menjual barang keperluan harian tetap dibuka.

Ia merupakan antara lima langkah kawalan pergerakan yang diumumkan beliau.

Satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri juga menyebut, semua restoran hanya boleh dibuka untuk khidmat penghantaran dan pelanggan tidak dibenarkan makan di premis tersebut.

Perintah Sekatan Pergerakan itu berkuatkuasa 18 hingga 31 Mac.

Ia diputuskan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Setakat hari ini, wabak Covid-19 merebak di 135 buah negara dengan 162,711 orang telah disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu seramai 6,443 orang maut.

Di Malaysia pula, berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini sebanyak 553 orang.  

Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang pulih. – 16 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen