DR Mahathir Mohamad menang tanpa bertanding jawatan pengerusi Bersatu apabila beliau menjadi satu-satunya calon yang mengemukakan borang bertanding jawatan berkenaan.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Syed Hamid Albar dalam sidang medianya di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.
Manakala jawatan presiden dan timbalan presiden pula kedua-duanya menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mempertahankan jawatannya, turut ditandingi timbalan presiden, Mukhriz Mahathir, dan Mohd Faiz Azlee Sham.
Timbalan presiden pula ditandingi Marzuki Yahya, yang merupakan setiausaha agung Bersatu, bersama Ahmad Faizal Azumu, yang merupakan menteri besar Perak dan Anas Akashah Nazri.
Terdahulu ketika mengumumkan pencalonannya, Dr Mahathir berkata beliau mahu menyelamatkan Bersatu daripada kerjasama dengan dengan para kleptokrat dan pihak yang membentuk kerajaan melalui pintu belakang.
“Saya Dr Mahathir, ahli nombor 1 Bersatu dan pengasas parti ini. Saya menawarkan diri saya untuk bertanding sebagai pengerusi untuk #SelamatkanBersatu yang kini sebahagian pemimpinnya berkerjasama dengan kleptokrat dan Umno untuk mendiri kerajaan dari pintu belakang.
“Sertailah perjuangan kami untuk mengembalikan parti kita ke jalan yang benar,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan laman Facebook Bersatu. – 16 Mac, 2020.
Komen