KERAJAAN perlu mula menutup bahagian tertentu negara berikutan kenaikan meluas dalam kes Covid-19, kata kumpulan kesatuan sekerja swasta.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata berbanding negara lain seperti China, Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan Sri Lanka melaksanakan perintah berkurung apabila keadaan di negara mereka semakin buruk.
“Kenyataannya ialah tindak balas kerajaan terhadap pandemik masih belum mencukupi untuk menangani peningkatan jangkitan Covid-19 yang semakin serius di Malaysia.
“Tempat awam seperti sekolah, universiti dan kolej terus beroperasi seperti biasa sama juga kilang dan pejabat di mana beribu-ribu orang berinteraksi di antara satu sama lain.
“Kafe, restoran dan bistro juga terus dibuka sehingga awal pagi sementara pemiliknya mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan pelanggan mereka,” kata MTUC dalam satu kenyataan.
MTUC menggesa kerajaan menimbangkan untuk memerintahkan sekolah dan universiti ditutup sementara demi keselamatan pelajar.
Kerajaan juga perlu membuat garis panduan yang ketat untuk restoran dan gerai makanan bagi memastikan mereka membersihkan premis setiap hari.
“Kerajaan perlu menunjukkan kepimpinan yang kukuh untuk mengambl tindakan sewajarnya walaupun kaedah ini mungkin tidak popular terutama dalam kalangan komuniti perniagaan.
“Kerajaan perlu memastikan kesejahteraan rakyat khususnya penduduk berpendapatan rendah dilindungi apabila langkah-langkah tersebut dilaksanakan.
“Negara ini telah banyak hilang masa berharga untuk mengambil tindakan tegas. Oleh itu MTUC menggesa kerajaan mengisytiharkan perintah berkurung yang sesuai untuk menghentikan penyebaran Covid-19,” katanya.
Malaysia mencatatkan peningkatan 190 kes baharu semalam menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes. – 16 Mac, 2020.
Komen