Hospital Petra Jaya terbengkalai jadi sasaran pencuri, vandalisme


Desmond Davidson

Penebat pendawaian elektrik bersepah di satu bahagian dalam bangunan hospital Petra Jaya, selepas pencuri mengeluarkan dawai tembaga di dalamnya. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Mac, 2020.

BANGUNAN hospital Petra Jaya di Kuching, Sarawak dirompak dengan hampir semua pendawaian lesap dan kawasan itu menjadi mangsa vandalisme menyebabkan kemusnahan teruk kepada peralatan dan struktur di bangunan terbengkalai itu.

Tidak ada angka rasmi tentang kerosakan itu tetapi Zecon Bhd, syarikat yang mendapat kontrak bernilai RM495 juta untuk membina hospital 300 katil pada Mei 2013 itu, mengganggarkan kerugian kira-kira RM15 juta.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof yang baharu dilantik perlu memikirkan perkara ini, kerana hospital itu berada di dalam kawasannya.

“Semua benda yang ada nilai di pasaran barangan terpakai, pencuri itu ambil dan apa yang tidak boleh dibawa, mereka musnahkan,” kata pegawai Zecon Bhd kepada The Malaysian Insight.

Pegawai yang enggan dinamakan itu berkata kes undang-undang membabitkan hospital itu antara syarikat berkenaan dan Putrajaya sedang berlangsung.

Kontrak itu sepatutnya untuk 42 bulan dengan projek berkenaan pada awalnya dijadualkan siap pada Jun 2018.

Menurut laman web Zecon, ia diberikan kontrak untuk mereka dan membina projek serah kunci dengan syarikat berpangkalan di Kuching, termasuk kajian, reka bentuk dan jaminan kualiti.

Namun, perbalahan antara Zecon dan penyelia projek, Jabatan Kerja Raya (JKR) persekutuan, dikatakan berhubung tentang bayaran kemajuan dan kemajuan kerja, berakhir apabila kerajaan Pakatan Harapan pada masa itu menamatkan kontrak itu pada Ogos 2018.

Syarikat yang tersenarai di Bursa itu mencabar penamatan kontrak berkenaan, dan membawanya ke mahkamah.

Pendawaian elektrik dan kabel dicabut untuk mendapatkan tembaga di dalamnya dan batang logam tembaga juga dikeluarkan.

Zecon menyalahkan JKR kerana gagal menjaga kawasan itu.

“JKR tidak jaga tapak itu.

“Mereka jaga bila kontrak kami ditamatkan tetapi hanya hingga hujung tahun.”

Bermula awal tahun ini, kawasan itu tiada pengawal keselamatan, mendedahkan ia kepada pencuri dan vandalisme, katanya.

Syarikat itu akan menambah kerugian RM15 juta berkenaan kepada tuntutan yang masih tertunggak, katanya.

“Bekas menteri Baru Bian berjanji menyelesaikan isu ini tetapi belum sempat, kerajaan PH sudah runtuh.

“Saya harap Fadilah mampu menyelesaikannya.” – 20 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen