Pembangkang Pulau Pinang nafi tuduh bantuan banjir hanya untuk ahli PH  


Looi Sue-Chern

Ketua Pembangkang Pulau Pinang Jahara Hamid (tengah) bersama lapan Adun BN pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 14 November, 2017.

KETUA pembangkang Pulau Pinang Jahara Hamid nafi menuduh kerajaan negeri memaksa mangsa banjir menyertai parti Pakatan Harapan untuk layak mendapat bantuan.

Menurutnya, beliau tidak pernah membuat tuduhan terhadap kerajaan negeri selepas pentadbiran itu mengumumkan bayaran bantuan secara one-off RM400 untuk setiap isi rumah dan perniagaan yang terjejas akibat banjir pada 15 September.

Jahara, yang akan bersara selepas tempoh terakhirnya sebagai Adun Teluk Air Tawar tamat, sebelum ini disoal oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung dakwaan itu. 

Lim turut mencabar Jahara untuk menunjukkan bukti petang ini bahawa kerajaan negeri menggunakan bantuan mangsa banjir sebagai umpan untuk merekrut ahli parti PH. 

Lim berkata kenyataan yang didakwa Jahara dibuat pada 20 September dalam artikel Utusan Malaysia, yang melaporkan difahamkan mereka yang mahu mendapatkan bantuan perlu mendaftar sebagai ahli parti PH. 

Jahara berkata beliau tidak pernah membuat kenyataan itu dan menjelaskan ia adalah ulasan tambahan akhbar terbabit. 

“Ketua menteri sangat prejudis dengan semua yang kami (ahli politik Barisan Nasional) kata. Dalam artikel, saya meminta kerajaan negeri menjelaskan bagaimana bantuan akan diagihkan kepada mangsa banjir. 

“Saya kata “jangan sampai rakyat perlu sertai parti”. Saya tidak kata mereka lakukannya. Saya maksudkan jangan buat demikian. 

“Saya hanya mahu katakan prosedur yang terbabit tidak sepatitnya menyusahkan rakyat,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media petang ini di bangunan Dewan Undangan Negeri. 

Ketika diminta mengulas berhubung jawapan Jahara, Lim berkata Jahara terdahulu mengakui membuat kenyataan itu pada sidang dewan undangan negeri pagi ini.

“Jadi mengapa beliau mengakui awal tadi? kata Adun Air Putih daripada DAP itu.

Lim berkata nampaknya Jahara tidak dapat membuktikan tuduhannya dan mengambil peluang meninggalkan Dewan awal petang ini. 

Beliau merujuk kepada tindakan 10 Adun pembangkang dari BN yang bertindak keluar dewan selepas usul Adun PH “merampas” usul wakil Pulau Betong Dr Muhamad Farid Saad yang menggesa pentadbiran negeri menghentikan semua pembangunan di cerun bukit. – 14 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen