Idris: Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana


Chan Kok Leong

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Idris Jala berkata, kerajaan terpaksa mengambil langkah tegas bagi memastikan kemampuan negara mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2017.

MALAYSIA menurunkan defisit fiskal, menaikkan pelaburan swasta dan bergerak separuh jalan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Idris Jala.

Negara mencapai semua ini dengan mengurangkan subsidi, memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan membolehkan persekitaran perniagaan lebih mesra bagi peniaga untuk maju, Idris menulis dalam kata pengantar laporan Bank Dunia “Ke Arah Prestasi dari Pusat: Pengalaman Malaysia bersama Pemandu”. Laporan itu dikeluarkan pada 13 April.

Bekas senator dan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Malaysia mempunyai empat masalah semasa beliau menyertai sektor awam pada 2009.

“Pertama, terdapat kebimbangan Malaysia terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana sejak 1990-an. Kedua, defisit fiskal sebanyak 6.6%. Ketiga, hutang kerajaan meningkat pada kadar 12% setahun KDNK.

“Dan keempat, kami perlu menggerakkan negara kepada status berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Idris berkata mengikut data daripada Bank Dunia, Pendapatan Negara Kasar (PNK) Malaysia per kapita pada 2015 ialah AS$10.570 atau 15% di bawah ambang berpendapatan tinggi semasa AS$12.475.

“Sebagai perbandingan, PNK per kapita AS$8,280 pada 2010. Terdapat jurang sebanyak 33% bagi berpendapatan tinggi ketika itu sebanyak AS$12.276. Selain itu, kita naik 2.2 pertumbuhan dalam Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (CAGR) pelaburan swasta.

“Walaupun CAGR yang dicatatkan sebelum ini adalah 5.5% pada 2006 hingga 2010, pelaburan swasta mencatat CAGR sebanyak 12.1% antara 2011 hingga 2015,” kata Idris.

Bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines Berhad ini berkata, pencapaian itu dibuat semasa Malaysia memperbaiki defisit fiskal KDNK daripada 6.6% pada 2009 kepada 3.2% pada 2015.

Pada 2010, kerajaan melancarkan Program Transformasi Ekonomi yang bertujuan membawa Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

ETP, yang diuruskan Pemandu, bertujuan mengangkat PNK Malaysia kepada AS$523 bilion pada 2020 atau meningkatkan pendapatan per kapita daripada AS$6,700 kepada sekurang-kurangnya AS$15,000.

Apabila ETP mula diperkenalkan, kadar pertukaran pada 2010 adalah RM3.2 kepada AS$1.

Pada 2015, ringgit merosot kepada RM4.2 bagi AS$1, manakala kadar pertukaran semasa menjuman lebih rendah RM4.4 kepada AS$1.

Namun, Idris tetap memuji “kejayaan” inisiatif berbeza di bawah kepimpinan Pemandu, mengatakan ia adalah hasil daripada satu siri langkah tegas yang kerajaan perlu laksanakan.

“Sejak 2010, NTP berjaya menjadikan rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan realiti baru. Realiti di mana mereka menjangkakan pertukaran positif bagi kos lepas.

“Bagi tujuan ini, melalui NTP, kami membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia setiap hari dengan cara inklusif, seperti melalui penyiapan 5,286 km jalan luar bandar, menghubungkan 144,025 rumah luar bandar dengan bekalan elektrik yang baik, menyediakan 1.68 juta pendudukan di 334,593 rumah luar bandar dengan akses kepada air bersih; dan juga membina dan membaik pulih 79,137 rumah bagi 412,360 orang.”

Idris bagaimanapun berkata perubahan itu tidak mudah kerana kepimpinan yang jelas, terarah dan komited diperlukan untuk menjadikannya satu kenyataan.

“Malaysia diiktiraf banyak institusi global, kumpulan akademik dan kerajaan dalam tempoh tujuh tahun terakhir NTP sebagai model transformasi sosioekonomi negara. Ini tidak datang tanpa kesusahan,” kata Idris.

Komen Idris muncul di saat semakin banyak kritikan awam diterima terhadap Pemandu, didakwa tidak berkesan di samping kos yang tinggi untuk menjalankan unit itu.

Pemandu ditubuhkan pada 2009 sebagai satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan mempunyai bajet operasi tahunan kira-kira RM40 juta.

Laporan Bank Dunia mengatakan, dengan lebih 100 kakitangan, Pemandu ialah “unit pelaksana” kerajaan terbesar di dunia, mencatatkan kebanyakan unit yang serupa di negara lain terdiri daripada enam hingga 16 pekerja sahaja. – 29 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen