Putrajaya pertimbang larang eksport topeng muka


Desmond Davidson

KPNHEP menerima banyak aduan tentang tindakan segelintir pihak mengaut keuntungan daripada produk topeng muka dan pencuci tangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2020.

KERAJAAN mungkin akan melarang eksport topeng muka bagi mengekang kekurangan bekalan produk itu dalam negara, kata Alexander Nanta Linggi.

Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata keputusan berhubung larangan itu mungkin akan diputuskan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Linggi berkata larangan itu merupakan satu daripada pilihan kerajaan untuk menangani kekurangan bekalan dan mengawal keperluan barangan itu untuk mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

“Ia merupakan satu pilihan. Kita melihat larangan ini sebagai langkah yang boleh diambil ekoran masalah kekurangan topeng muka yang serius dalam negara,” katanya selepas melakukan pemeriksaan bekalan makanan di sebuah pasar raya di Kuching.

Semalam, tular di media sosial yang menunjukkan situasi pembelian panik dalam kalangan penduduk susulan pengumuman tiga kes positif Covid-19 di negeri itu.

Namun Linggi berkata pembelian luar biasa yang berlaku di pasar raya tersebut disebabkan jualan murah.

Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Linggi melakukan pemeriksaan bekalan makanan di sebuah pasar raya di Kuching hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Mac, 2020.

Beliau berkata kementeriannya menerima banyak aduan tentang tindakan mengaut keuntungan daripada produk topeng muka dan pencuci tangan.

“Kita sudah beberapa kali berbincang mengenainya (aduan) dan melihat isu ini dengan serius.

“Kita sedar tentang tindakan segelintir pihak mengambil kesempatan dan membuat keuntungan daripada situasi ini.”

Linggi turut memberi jaminan bahawa kementeriannya sedang mengkaji cara untuk mengatas masalah tersebut.

Namun katanya, apa yang lebih penting adalah memastikan bekalan keperluan terutamanya topeng muka mencukupi.  – 14 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen