Politik kaum (bahagian 2)


Noor Amin Ahmad

SELEPAS Perang Dunia Kedua, sistem demokrasi mula berkembang dengan lebih pesat daripada sekitar 30 buah negara kepada 110 buah negara sejak 1970-an.

Ini berlaku terutamanya di negara-negara yang pernah berada di bawah pentadbiran kolonial. Ia tidak seragam, mengambil bentuk tertentu yang disesuaikan dengan penerimaan setempat.

Malaysia tidak terkecuali daripada perkara ini khususnya dalam mengekalkan ciri tradisi sistem beraja, kedudukan orang Melayu, agama Islam dan jaminan hak bagi penganut agama lain serta bahasa Melayu. Ini ditambah pula dengan kelebihan bagi Sarawak dan Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 yang kini semakin kerap diulang sebut.

Sementara penentangan dan penolakan terhadap kolonialisasi menyatukan keinginan pelbagai pihak untuk mandiri, alternatif sistem ganti atau negara yang dihasratkan pada masa depan itu mencapah.

Ada pandangan bertindih dan berbeza, kadangkala tajam dan tegang. Memang, ada disentuh oleh Benedict Anderson dalam karya popularnya Imagined Community betapa tidak seperti –isme lain, nasionalisme tidak memiliki pemikir ulungnya tersendiri berbanding banyak –semisal Hobbes, Tocqueville, Marx dan Weber.

Justeru itu ia menjadi satu ruang terbuka dan tentulah corak persaingan yang ada cenderung bersifat yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Ini juga antara lain dipengaruhi oleh suasana pasca Perang Dunia Kedua bila pilihan selain Monarki Mutlak ialah demokrasi (sama ada dengan raja berperlembagaan atau tidak) dan sosialisme yang seringkali beransur menjadi pemerintahan oligarki dan kemudian komunisme.

Sementara banyak negara sosialis dan komunis berakhir dengan keruntuhan sistem itu sendiri yang ditolak oleh orang ramai di negara masing-masing – sama ada kerana kegagalan ekonomi atau kezaliman yang terhasil daripadanya, demokrasi pula bukan sistem yang tetap dan seragam kecuali ciri khususnya: pilihan raya.

Demokrasi juga, dalam sejarahnya, pernah menghasilkan pemimpin diktator dan memunculkan oligarki tersendiri. Namun, mungkin pandangan Churchill bahawa demokrasi adalah ‘sistem terbaik daripada segala yang terburuk pernah dicuba’ masih boleh diguna pakai.

Indeks Demokrasi yang dibangun oleh The Economist antara lain adalah untuk mengingatkan betapa demokrasi mungkin sahaja wujud pada nama, tetapi tidak mewakili kualiti yang dihasratkan.

Corak demokrasi defisit pernah ditunjuk oleh Larry Diamond, pengkaji tersohor dalam bidang ini di Universiti Stanford sejak lewat abad lalu. Corak ini nampaknya berterusan sehingga kini.

Meskipun ada sangkalan dibuat terhadap apa yang dibayangkan oleh Samuel Huntington dalam the Clash of Civilizations (Benturan Peradaban) serta Benjamin Barber dalam Jihad vs McWorld (dua bacaan wajib bagi penggemar politik aras tinggi di era separuh kedua 1990-an), ternyata perkembangan semasa memperlihatkan ramalan mereka cukup hampir, jika belum sempurna. Francis Fukuyama turut memberi peringatan tentang bagaimana politik identiti berpotensi mengancam demokrasi.

Sebagaimana analisa Fukuyama, sepanjang sejarah singkat demokrasi (dalam pengertian sistem politik moden berteraskan negara bangsa sebagaimana yang kita lihat pada hari ini), kita dapat melihat bagaimana ia sering teruji khususnya apabila berlaku masalah ekonomi.

Akhirnya, tidak keterlaluan untuk kita rumuskan bahawa di sebalik sistem apa pun, gugatan kepada kestabilan sistem tersebut tidak terlepas daripada hitungan ekonomi.

Di sini, meskipun demokrasi adalah sistem terbaik (buat masa ini) dalam mengawal perbezaan yang wujud dalam masyarakat, kita boleh simpulkan bahawa wujud konsensus dalam pandangan umum bahawa perlunya satu tahap kualiti asas kehidupan bagi memastikan kelangsungannya.

Namun awas. Meskipun kita mungkin telah mengangguk bersetuju dengan kenyataan di atas, ia tidak pernah bermaksud untuk mencadangkan agar kita meremehkan atau menolak demokrasi – asalkan ekonomi baik untuk semua. Inilah bahaya yang perlu diperingatkan.

Penyertaan orang ramai dalam proses politik sebagaimana yang disediakan oleh demokrasi perlu dipertahankan. Kita mesti meyakini bahawa ketidaksempurnaan demokrasi sangat memerlukan kemajmukan suara, yang mungkin saja riuh dan menyakitkan telinga atau pandangan mata, terus berjalan. Melalui proses inilah garis kompromi akan ditentukan, diperhalusi dan diperbaharui.

Hanya melalui konflik yang diurus secara saksama akan memungkinkan keseimbangan antara keteraturan dan perubahan berlaku dan sekaligus menjamin ketahanan sistem politik demokrasi.

Ini tentulah lebih mudah diperkatakan daripada dilakukan. Kebanyakan negara demokrasi yang maju wujud dalam sejarah dan persekitaran berbeza. Aspek ketersediaan ini memungkinkan ia lebih lancar, meskipun sebenarnya sejarah mereka mungkin lebih mengerikan.

Apa yang mungkin mendorong mereka mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan ialah kerana ada kemahuan, keberanian, kesungguhan dan kebijaksanaan untuk mencapai yang lebih baik dalam usaha untuk hidup bersama. Itu pun, sebagaimana dinyatakan dalam tulisan lalu, ia terpaksa melalui pasang surut tersendiri.

Dalam setiap keadaan ini, selain kuasa tekanan – sama ada melalui senjata atau tidak, dan ini juga tentunya termasuk kekangan untuk meneruskan ikhtiar hidup, sentiasa ada golongan bijak pandai, atau intelektual bahkan agamawan yang menjustifikasi kebobrokan. Bahasa paling lunak dicari untuk mengatakan yang buruk itu baik, yang zalim itu adil atau patut.

Persoalan kaum, yang mungkin dicadangkan sebagai petunjuk utama politik demografi, mungkin saja mempunyai pemberatnya tersendiri. Namun, demografi bukanlah hanya tentang kaum.

Tidak ada kaum yang seragam kecuali mereka yang menerima doktrin hodoh dan senget. Tidak ada pemikir yang menjadikan faktor kaum sebagai satu keunggulan teratas melainkan mereka yang mungkin bersedia masuk ke pasir jerlus dan menjadi sebahagian daripada mata rantai yang mencetuskan banality of the evil. – 14 Mac, 2020.


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Baru-baru ini beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Belanjawan. Beliau juga telah dipilih menjadi ahli jawatankuasa pemandu jaringan ahli Parlimen muda Bank Dunia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen