Azmin abai serangan PAS, tumpu kepada rakyat dan negara


Looi Sue-Chern

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azman Ali berkata, beliau mengetepikan serangan verbal terhadapnya oleh perwakilan PAS pada muktamar parti Islam itu yang sedang berlangsung.

Beliau berkata beberapa hari lalu dijadikan sasaran, tetapi memilih mengabaikannya kerana tugas untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

Ditanya apa yang dirasakan ketika diserang dan mengapa tidak memberi tindak balas, beliau menjawab: “Tak apa, sabar.”

“Pemimpin tidak perlu terlalu emosi. Mereka perlu lebih sabar,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang pada konvensyen negeri PKR petang ini.

Dua hari lalu, Ahli Dewan Ulama Bakri Nikmat berkata kepada Azmin, yang juga menteri besar Selangor, “Jangan terlepas mulut lagi dan hina ulama.”

Bakri berkata demikian pada perbahasan Dewan Ulama dan menggesa pemimpin PAS memberi ahli arahan jelas apabila pihak lain menghina pemimpin mereka.

Bulan lalu, Azmin mengepos tweet menyindir “tok lebai” tanpa nama yang tidak dapat memenangi pilihan raya parti di kawasan sendiri tetapi bercita-cita mengambil alih Selangor.

Beliau juga memberitahu media yang beliau turut dijemput menghadiri muktamar sebagai wakil PKR.

“Pemimpin rohani, Hashim Jasin, menghubungi saya minggu lepas untuk menyampaikan jemputan, tetapi saya akan ke Taiwan bagi lawatan kerja. Jadi, saya tidak berkesempatan hadir.” Beliau tiba di tanah air malam tadi.

Azmin berkata ia hanya pendapat seorang perwakilan PAS, sambil menambah ini adalah sebuah negara demokrasi.

Terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan mengenai “maruah” PKR, kata Azmin, bukannya perwakilan PAS.

“Rakyat akan melihat jika kita mempunyai keberanian kepada gabungan lebih besar dan berbincang. Terdapat isu tetapi saya percaya sebagai pemimpin, kita perlu melakukan perkara yang betul dan membuat keputusan berdasarkan konsensus.”

Azmin mengelak apabila wartawan bertanya kepadanya tentang hubungan PAS dan PKR, yang kelihatan berada di ambang keruntuhan selepas sayap dan bahagian PAS di seluruh negara meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR dalam muktamar.

PAS Dewan Ulama dua hari lepas, menerima usul “menceraikan” PKR di muktamar, tetapi Azmin tidak mengulas mengenai apa yang akan berlaku jika Majlis Syura PAS memberi perkenan untuk menamatkan semuanya dengan PKR.

Beliau berkata Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu akan menunggu keputusan Majlis Syura.

“Ia adalah pandangan perwakilan (untuk memutuskan hubungan) tetapi tidak ada keputusan, pada masa ini ... kita tidak boleh membuat spekulasi. Kami perlu menunggu keputusan majlis itu.”

Apabila ditanya sama ada ia akan menjadi lebih sukar bagi PH untuk mempertahankan Selangor tanpa PAS, Azmin berkata: “Itu yang anda spekulasikan.”

“PAS masih di Selangor. Mereka adalah sebahagian daripada kerajaan. Tunggu Majlis Syura. Jangan buat spekulasi.”

Azmin berkata bagi PKR, musuhnya kekal Umno dan Barisan Nasional.

Terdahulu, ketika berucap pada konvensyen PKR Pulau Pinang, beliau secara tidak langsung menyentuh hubungan rapuh dengan PAS.

Beliau berbicara tentang perpaduan dalam pakatan pembangkang untuk menangani parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan keperluan serta mengetepikan perbezaan demi Malaysia dan rakyatnya.

“Kita mempunyai pandangan berbeza tetapi saya menyeru kepada semua di dalam dan luar parti mempertahankan perpaduan dalam pergerakan reformasi.

“Orang di luar sana mempunyai harapan yang besar kepada kita. Mereka putus ada dan kecewa dengan masalah pentadbiran ini. Mereka mahu melihat jika kita boleh membawa perubahan dalam PRU14, itulah cabarannya.” – 29 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen