WABAK koronavirus dijangka menyebabkan penyusutan sebanyak 0.8% hingga 1.2% bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Ini bersamaan dengan kerugian sebanyak RM10.8 hingga RM17.3 bilion dalam pelbagai sektor, dengan pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengangkutan yang paling terjejas teruk.
Sektor pelancongan kehilangan kira-kira RM3.37 bilion antara Januari dan Februari tahun ini, kata Muhyiddin dalam perutusan khas mengenai Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen malam ini.
“Pakej pelancongan dibatalkan dan ini menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat penerbangan dan perhotelan,” katanya.
“Saya sedar langkah segera perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara, khususnya kepada rakyat.
“Untuk itu, kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya akan dapat dirasai oleh anda semua dengan segera.”
Bulan lepas, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan RM20 bilion untuk membantu perniagaan yang terjejas teruk akibat wabak. – 13 Mac, 2020.
Komen