Zahid di luar negara, mesyuarat Pakatan dengan KDN ditunda


Amin Iskandar

Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir Mohamad sepatutnya bertemu Kementerian Dalam Negeri (KDN) esok untuk bertanya kenapa pendaftaran gabungan itu masih belum lagi diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS). – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2017.

MESYUARAT Pakatan Harapan (PH) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) esok ditunda kerana menterinya, Ahmad Zahid Hamidi berada di luar negara.

“Maaf. Dimaklumkan esok pertemuan dengan YAB Menteri Dalam Negeri ditunda kerana beliau di luar negara. 

“Untuk itu Majlis Presiden PH ditukar ke Parlimen pada pukul 1 pm,” tulis satu mesej daripada Sekretariat PH kepada The Malaysian Insight.

PH seharusnya bertemu dengan KDN esok dan Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai rombongan itu untuk bertanya kenapa pendaftaran gabungan itu masih belum lagi diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Barisan kepimpinan PH itu mahu tahu apakah RoS sengaja menangguhkan pendaftaran gabungan itu, tanpa alasan yang munasabah, kerana semua syarat yang dikehendaki sudah pun mereka patuhi.

Sepatutnya, selepas pertemuan dengan Zahid esok, PH akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

PH mengemukakan permohonan pendaftaran kepada RoS pada 24 Julai lepas.

Seorang pemimpin kanan PH memberitahu The Malaysian Insight, pendaftaran itu tidak boleh ditangguhkan lagi kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan, sudah terlalu dekat. 

RoS sudah menghantar sepucuk surat kepada PH pada 2 November lepas berkenaan status pendaftaran tersebut.

Dalam surat berkenaan, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, RoS memaklumkan permohonan PH masih dalam pertimbangan. 

Surat yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang alasan.

“Dimaklumkan bahawa permohonan pendaftaran Pakatan Harapan adalah masih dalam pertimbangan jabatan ini.

“Oleh itu, sebarang keputusan berhubung permohonan pendaftaran parti ini akan dikemukakan kepada pihak YBhg. Dato’ sewajarnya kelak,” menurut surat yang ditujukan kepada Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah. – 14 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen