MALAYSIA mempunyai bekalan perubatan mencukupi untuk menangani gelombang kedua jangkitan koronavirus ketika kerajaan memberi amaran mengenai tempoh wabak yang lama bagi memerangi pandemik Covid-19.
“Dengan trend kes sedia ada, wabak ini dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang agak lama. Ia tidak akan berakhir dalam jangka waktu yang terdekat,” kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai virus yang disiarkan secara langsung malam ini.
Beliau memberi jaminan kepada rakyat yang stok bekalan perubatan negara mencukupi untuk menangani virus, yang kini menjangkiti 175 individu setakat hari ini.
Ia adalah peningkatan sebanyak 39 kes positif berbanding semalam.
“Saya sendiri diberikan laporan mengenai Covid-19 secara harian oleh Jawatankuasa Khas yang dipimpin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan ini membolehkan langkah terkini diambil untuk menghadapi segala kemungkinan yang boleh berlaku,” kata Muhyiddin.
“Saya juga diberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan adalah mencukupi.”
Perdana menteri berkata kerajaan telah menambah lebih banyak kemudahan kesihatan untuk menangani kes Covid-19, termasuk 26 hospital di seluruh negara.
“Kolaborasi dengan hospital swasta, hospital di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan hospital universiti telah dimulakan sebagai persediaan untuk menerima pertambahan kemasukan pesakit kes Covid-19.
“Di samping itu, terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit Covid-19.”
Kira-kira 22 buah makmal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan makmal lain di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dipertingkatkan kemampuannya untuk melakukan ujian pengesanan. – 13 Mac, 2020.
Komen