LEBIH 380 rakyat Malaysia di Iran dan Itali akan dibawa pulang, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, selepas negara itu terjejas teruk dengan Covid-19.
Dalam perutusan khas mengenai pandemik yang disiarkan secara langsung malam ini, Muhyiddin berkata kerajaan sedang dalam proses membawa pulang 65 rakyat Malaysia di Iran dan 323 di Itali.
Langkah ini diambil selepas kerajaan mambawa balik secara berperingkat, 107 rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa kawasan paling teruk terjejas di China pada bulan lalu.
Muhyiddin berkata kerajaan akan meneruskan sekatan sementara bagi perjalanan ke tiga wilayah China - Hubei, Jiangsu dan Zhejiang, yang paling terjejas teruk di China.
Sekatan perjalanan juga dikenakan kepada wilayah Hokkaido di Jepun, Korea Selatan, Iran dan Itali.
Kapal pesiaran hanya dibenarkan berlabuh di Malaysia untuk mendapatkan bekalan tetapi penumpang tidak dibenarkan turun, katanya.
Di seluruh dunia, terdapat 132,567 kes dikesan di 126 negara, manakala angka kematian mencecah 4,947 orang. – 13 Mac, 2020.
Komen