KERAJAAN Pulau Pinang hari ini mengumumkan tambahan RM200 bantuan kewangan kepada mangsa banjir.
Minggu lalu, Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) mengumumkan bantuan kewangan RM500 kepada mangsa banjir untuk setiap isi rumah atau premis perniagaan yang terjejas dalam bencana banjir di negeri itu pada 4 dan 5 November lalu.
“Kerajaan negeri akan menambah bantuan, Jadi, bayaran secara one-off itu kini adalah RM700.
“Ini merupakan jumlah tertinggi bantuan untuk mangsa banjir di negara ini,” katanya pada penggulungan perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Bantuan tambahan itu adalah daripada sumbangan yang diterima kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi tabung bantuan banjir.
Lim berkata sumbangan itu akan digunakan sepenuhnya untuk bantuan banjir, dengan RM20 juta diasingkan untuk bantuan kewangan tambahan.
Katanya sekiranya jumlah itu tidak mencukupi, kerajaan negeri akan menambahnya.
Setakat ini katanya, sumbangan diterima daripada pelbagai organisasi dan orang awam hingga mencecah RM9.6 juta, dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.
Beliau turut berharap kerajaan Persekutuan akan mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Kita tidak katakan yang kerajaan Persekutuan tidak membantu. Kita hanya meminta bantuan kewangan. Mengapa mereka tidak boleh lakukan?
Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata apa yang diminta dari Putrajaya adalah “bantuan”, dan beliau bukan menuduh pentadbiran persekutuan Barisan Nasional tidak membantu.
“Kita minta daripada Perdana Menteri Najib Razak bantuan kewangan. RM1 bilion untuk 13 projek tebatan banjir yang sebelum ini diluluskan oleh Putrajaya di bawah beberapa Rancangan Malaysia.
“Kita sudah nyatakan sebelum ini bahawa RM1.6 bilion untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang tidak disalurkan kepada negeri. Kita hanya minta RM1 bilion.
“Namun Utusan Malaysia memutarbelitkan kata-kata saya untuk membuatnya berbunyi seolah-olah saya menuduh kerajaan Persekutuan tidak membantu. Ia membantu, namun tidak memberikan bantuan.”
Lim berkata kerajaan negeri tidak hanya mengharapkan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan bantuan, dengan memulakan program Penang Bangkit RM105 juta untuk menjadikan Pulau Pinang kembali seperti sedia kala selepas bencana, yang merupakan terburuk dalam tempoh 30 tahun.
Sementara itu, pada sideng media di lobi Dewan Undangan Negeri, Lim berkata kerajaan negeri menjangka akan merekodkan defisit buat pertama kalinya sejak pembangkang mengambil alih kerajaan Pulau Pinang pada 2008.
“Dalam Bajet 2017, kita jangkakan defisit RM667 juta, namun kita menuju ke arah lebihan. Tetapi dengan bencana banjir, kita akan jangkakan defisit tahun ini.
“Kita akan melihat kepada kerosakan untuk mengetahui jumlah kerugian.” – 14 November, 2017.
Komen