Tiada kes Covid-19 babit anggota tentera, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata satu jawatankuasa bagi menangani wabak Covid-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan WHO. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Mac, 2020.

BELUM ada kes Covid-19 menjangkiti anggota tentera setakat ini, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau bagaimanapun berkata satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menangani wabak yang diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Belum ada kes virus itu menjangkiti anggota tentera. Kita sudah tubuhkan jawatankuasa untuk menangani Covid-19,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail turut berkata siasatan berhubung pembelian enam helikopter tempur ringan pada 2015 yang masih belum diterima akan diteruskan.

“Akan diteruskan. Tiada isu, malah perkara ini sudah dibawa ke Parlimen. Kita akan mengambil kira pandangan daripada kedua-dua pihak.”

Jun tahun lalu, Kementerian Pertahanan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembelian enam helikopter  McDonnell Doughlas MD530G berjumlah RM300 juta itu.

Laporan Bernama memetik sumber kementerian berkata pesawat berkenaan akan dihantar melalui dua fasa, iaitu dua buah pada 2017 dan enam lagi pada Disember 2018.

Ismail menggantikan Mohamad Sabu susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dua minggu lalu. – 13 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen