MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan Najib Razak disambung ke Khamis minggu depan sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dan isterinya, peguam Tania Scivetti.
Shafee dan isteri disyaki terdedah kepada virus kerana mempunyai kontak rapat dengan adik iparnya semasa kenduri di rumah mereka di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh tersebut selepas peguam Noor Farhah Mustaffa mewakili Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa keputusan ujian yang dijalani di Hospital KPJ Damansara akan diketahui hari ini atau pagi esok.
Barisan pasukan Shafee dan pendakwaan juga menjalani ujian Covid-19.
Adik ipar Shafee, dikatakan mempunyai kontak rapat dengan setiausaha Sirim Bhd yang baru-baru ini disahkan dijangkiti virus itu.
Perbicaraan tertangguh sejak 13 November 2019 dan dijadualkan disambung semalam.
Pada prosiding hari ini, Noor Farhah Mustaffa menyerahkan kepada mahkamah dokumen berserta surat Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengarahkan Shafee, 68, dan pasukannya menjalani kuarantin sendiri. – 13 Mac, 2020.
Komen