UMNO mahu pentadbiran Muhyiddin Yassin menyiasat beberapa keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, serta membatalkan beberapa agenda reformasi yang telah dimulakan, termasuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, partinya menyokong Muhyiddin sehingga terbentuk kerajaan baharu pada 1 Mac lalu “semata-mata sebagai suatu tanggungjawab moral” untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada belenggu kemelut politik selepas kerajaan PH bubar.
Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat petang tadi membuat ketetapan mahu sebuah suruhanjaya siasatan diraja menyiasat apa yang didakwa sebagai salah laku dan penyelewengan PH, kata Zahid.
Katanya, tindakan itu harus diambil segera “demi memenuhi aspirasi rakyat dan memelihara kepentingan agama dan negara”.
Antara tindakan yang dituntut ialah penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat segala tuduhan salah laku dan penyelewengan PH terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pengurusan Tabung Haji terdahulu.
Umno juga mahu pentadbiran Muhyiddin menilai semula keputusan kerajaan sebelum ini menjual secara lambak aset strategik negara dan agensi berkepentingan rakyat termasuk Tabung Haji, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ia juga mahu kerajaan membuka semula kes penyelewengan yang didakwa melibatkan pemimpin DAP.
“Demi memenuhi prinsip rule of law yang sebenar, Umno mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula, ini termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan 3 lebuh raya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM 6.3 bilion,” kata Zahid.
Selain itu, Umno menggesa agar siasatan dan pendakwaan terhadap kes pembunuhan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim disegerakan, kata Zahid.
Majlis Tertinggi juga memutuskan menggesa kerajaan membekukan keputusan pentadbiran PH memberhentikan kakitangan awam kerajaan berstatus kontrak serta dasar pengurangan kakitangan awam, katanya.
Ia mahu pentadbiran Muhyiddin mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela.
Umno sokong dengan empat asas
Menurut Zahid, Umno akan terus menyokong kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin, yang dibayangkan sebagai bersyarat berasaskan kepada empat perkara.
Pertama, kerajaan memastikan aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan.
Kedua, kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira batasan kaum, agama, kenegerian dan darjat.
Ketiga, kerajaan berusaha segera menangani kelembapan ekonomi semasa serta melakar pelan tindakan berkesan menghadapi cabaran ekonomi global dan kesan wabak Covid-19.
Keempat, dan terakhir, kerajaan tidak mengulangi kesilapan kerajaan PH dalam menguruskan isu-isu yang menyentuh sensitiviti hubungan kaum.
“Umno akan terus memainkan peranan secara proaktif sebagai agen semak dan imbang terhadap kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela,” kata Zahid.
Umno juga katanya akan meneruskan agenda utama memperkasakan Muafakat Nasional dengan rakan-rakan PAS dan juga memperkukuhkan BN bersama rakan-rakan komponennya.
“Umno terus komited untuk mempertahankan kerajaan baharu pimpinan Muhyidin selama mana aspirasi rakyat dipelihara dan memastikan kestabilan politik dan ekonomi dapat dijaga sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang,” katanya. – 12 Mac, 2020.
Komen