Perikatan tidak akan dapat sokongan kaum Cina dan India, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Perikatan Nasional yang berasaskan Melayu tidak akan menikmati sokongan kaum Cina dan India. – Gambar fail The Malaysian Insigt, 12 Mac, 2020.

PERIKATAN Nasional yang berasaskan Melayu tidak akan menikmati sokongan kaum Cina dan India, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila ada pilihan raya, saya tidak fikir orang Cina akan menyokong (PN).

“Sudah pasti kaum India tidak akan menyokong (PN). Jadi majoriti (undi) untuk orang Melayu akan berkurangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam wawancara dengan Sinar Harian. 

Beliau merujuk kepada Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang hanya mempunyai beberapa pemimpin bukan Melayu.

Menteri Pengangkutan Wee Kas Siong dan Menteri Sumber Manusia M Saravanan merupakan satu-satunya menteri Cina dan India dalam barisan Kabinet. 

Terdapat tiga timbalan menteri Cina; Lim Ban Hong (perdagangan antarabangsa dan industri); Mah Hang Soon (pendidikan) dan Wee Jeck Seng (industri utama). 

R Santhara Kumar merupakan wakil India yang lain sebagai timbalan menteri Wilayah Persekutuan. 

The Malaysian Insight melaporkan hari ini terdapat ketidakpuasan dalam kalangan orang Cina berikutan kurangnya menteri daripada kaum itu dalam Kabinet Muhyiddin. 

Persatuan, kesatuan dan kumpulan Cina memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka berharap kerajaan Perikatan Nasinal baharu akan meletakkan kepentingan rakyat yang utama tetapi mereka masih tidak pasti kemungkinan pilihan raya semula.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China Joseph Lim memberitahu The Malaysian Insight bahawa masyarakat berharap mempunyai lebih ramai orang Cina dalam Kabinet untuk perwakilan yang lebih besar.

“Empat tidak cukup dan hanya ada satu menteri penuh,” kata Lim. – 12 Mac, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen