Pendaftaran calon pemilihan Bersatu bermula Isnin


PENDAFTARAN pencalonan untuk pertandingan bagi jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi, Jawatankuasa Wanita dan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal diadakan pada Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Syed Hamid Albar berkata pendaftaran itu bermula pada 10 pagi hingga 3 petang di tingkat 9, ibu pejabat Bersatu, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor.

Beliau berkata borang pencalonan boleh dimuat turun mulai hari ini, di laman sesawang rasmi parti di www.pribumibersatu.org.my atau diperoleh daripada petugas JPP di ibu pejabat parti berkenaan.

Katanya, setelah JPP menyaring borang pencalonan dan bakal calon disahkan untuk bertanding, cabutan nombor calon akan diadakan pada 10 pagi, 23 Mac di ibu pejabat parti itu.

“Calon atau wakil yang tidak hadir, nombornya akan dicabut oleh JPP. Nombor calon yang telah dicabut adalah muktamad,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Syed Hamid berkata 189 Bahagian Bersatu di seluruh negara dijadual mengadakan persidangan bahagian masing-masing secara serentak pada 18 April depan, seperti yang ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.

Beliau berkata persidangan itu membolehkan perwakilan memilih kepimpinan parti di peringkat nasional iaitu ahli jawatankuasa Majlis Pimpinan Tertinggi bagi penggal 2019-2022.

Jawatan yang dipertandingkan ialah Pengerusi Tetap; Timbalan Pengerusi Tetap; Pengerusi; Presiden; Timbalan Presiden; Naib Presiden (tiga orang) dan Ahli Jawatankuasa (20 orang).

Syed Hamid berkata persidangan Pemuda dan Wanita Bahagian pula dijadual berlangsung pada 11 April. 

“Perwakilan di persidangan Srikandi dan Armada Bahagian hendaklah memilih kepimpinan masing-masing di peringkat nasional, iaitu Ahli Jawatankuasa Srikandi Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Armada Malaysia,” katanya. 

Jawatan yang dipertandingkan bagi sayap parti itu ialah Pengerusi Tetap; Timbalan Pengerusi Tetap; Ketua; Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa (15 orang).– Bernama, 11 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen