Penganalisis ekonomi gesa Perikatan teruskan pembaharuan Pakatan


Sheridan Mahavera

Perubahan tampuk pentadbiran di Putrajaya mencetuskan kegusaran dalam pelabur asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2020.

PEMBAHARUAN institusi dimulakan Pakatan Harapan perlu diteruskan Perikatan Nasional untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia terutama dalam masa mencabar sekarang, kata penganalisis ekonomi.

Desakan itu dibuat susulan pengumuman Kabinet PN yang melibatkan ramai wakil rakyat Umno dan PAS- parti yang sebelum ini menentang keras dasar PH.

Penganalisis ekonomi memberitahu The Malaysian Insight yang pembaharuan itu termasuklah menghapuskan korupsi dan penaungan politik, mengukuhkan proses tender terbuka yang berdaya saing dan meningkatkan ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan.

Turut utama adalah pengenalan nombor pengenalan ID cukai persendirian bagi menghapuskan pengelakan cukai dan liabiliti korporat di mana syarikat boleh dipertanggungjawabkan sekiranya rasuah dilakukan kakitangan mereka.

Pembaharuan itu diperlukan sekiranya pentadbiran Muhyiddin Yassin mahu mencapai sasaran ditetapkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) untuk mengurangkan kesenjangan ekuiti dan meningkatkan pendapatan isi rumah 40% terbawah, kata penganalisis lagi.

Dasar tersebut sebelum ini membolehkan pentadbiran PH menarik pelabur ketika 22 bulan memerintah dan terbukti berkesan apabila pelaburan asing meningkat 48% pada 2018, hanya setahun selepas PH menakluk Putrajaya.

Tindakan menangguhkan atau membatalkan dasar itu akan menghantar petanda buruk kepada agensi rating antarabangsa yang digunakan oleh pelabur.

Menurut mereka lagi, di akhirnya hanya institusi yang bebas, kukuh dan kuat seperti yang wujud di negara demokrasi Barat akan memastikan negara berkembang menjadi negara maju.

“Pelabur akan menanti sama ada kerajaan akan mengambil langkah ke belakang. Sebarang perubahan dalam kepimpinan akan membawa perubahan dasar jadi ini akan meresahkan pelabur,” kata penganalisis ekonomi Lee Heng Guie.

“Dasar yang baik untuk negara, untuk institusi dan kestabilan ekonomi, perlu diteruskan,” kata Lee daripada Pusat Kajian Sosio-Ekonomi.

“Kerana bila pelabur letak duit dalam negara, mereka buat begitu dengan harapan dasar berterusan. Mereka mahukan keberterusan. Jika asyik berubah, pelabur akan lari.

“Jadi apa yang penting adalah mempunyai dasar yang jelas dan meneruskan dasar yang baik. Tak perlu ubah semua benda,” kata Lee yang merujuk kepada dasar PH yang bertujuan menambah baik pentadbiran negara. – 12 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen