Suara Cina dalam Kabinet tak cukup, kata komuniti


Angie Tan

Kabinet Muhyiddin Yassin diumumkan Isnin lepas, mempunyai 32 menteri dan 38 timbalan menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2020.

WUJUD rasa tidak senang dalam kalangan komuniti Cina disebabkan tidak ramai menteri Cina dalam Kabinet Muhyiddin Yassin yang diumumkan Isnin lepas.

Beberapa persatuan dan kumpulan mewakili kepentingan orang Cina memberitahu The Malaysian Insight yang mereka berharap kerajaan Perikatan Nasional akan mengutamakan kepentingan rakyat walaupun masih wujud kemungkinan pilihan raya umum baharu diadakan.

Kabinet pertama Muhyiddin yang mempunyai 32 orang menteri dan 38 timbalan, tetapi daripada komuniti Cina mereka hanya diwakili seorang menteri dan tiga timbalan menteri.

Mereka ialah Presiden MCA Wee Ka Siong yang diangkat jadi menteri pengangkutan, Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon (timbalan menteri pendidikan I), Naib Presiden MCA Lim Ban Hong (timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri) dan Ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng yang dilantik sebagai timbalan menteri perladangan dan komoditi.

Naib Presiden Dewan Perusahaan Malaysia-China Joseph Lim memberitahu The Malaysian Insight yang komuniti itu berharap lebih ramai pemimpin Cina berada dalam Kabinet untuk mewakili suara mereka.

“Empat tak cukup, dan hanya ada seorang menteri penuh,” kata Lim.

Tambahnya, kerajaan PN juga adalah kerajaan “peralihan”.

“Tak dapat dinafikan yang mereka boleh laksanakan beberapa usaha penting dalam jangka pendek, tetapi kemungkinan pilihan raya semula sentiasa ada.

“Walaupun saya mahu tunggu dan lihat, kalau ada kepastian lebih baik. Kerajaan baharu boleh perkenalkan dasar yang bermanfaat kepada rakyat dan stabilkan ekonomi, yang boleh mengubah pandangan rakyat memihak kepada mereka,” katanya.

Presiden MCA Wee Ka Siong diangkat jadi menteri pengangkutan kerajaan Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2020.

Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia (FHAM) Lim Hock San berkata semua rakyat mahukan kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

“Saya harap menteri dan timbalan menteri Cina boleh memainkan peranan menghubungkan dan membantu rakyat menerima lebih banyak manfaat.

“Tetapi saya percaya jika mereka benar-benar ikhlas membantu rakyat, tidak kisahlah kementerian atau jawatan mereka pegang, orang Cina akan terima mereka,” katanya.

Presiden Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Ong Chiow Chuan berkata pendirian mereka untuk pengekalan pendidikan Cina masih lagi sama dan ia tidak bergantung kepada siapa yang berkuasa.

“Sejak bertahun-tahun lamanya, persoalan tentang pendidikan Cina sudah timbul tetapi masih tidak nampak jalan penyelesaian. Misalnya, isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) masih lagi tiada sebarang perkembangan.

“Sebelum ini, kita ada berbincang dengan bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Chingv dan dia sudah mendapatkan persetujuan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, dan ketua pengarah pendidikan juga sudah memaklumkan jabatan berkaitan mengenainya.

“Tetapi disebabkan perubahan kerajaan, penjawat awam berhenti melaksanakan persetujuan itu, jadi sekarang kita perlu berbincang balik dengan menteri pendidikan baharu,” katanya.

Pendidikan adalah antara isu yang diperjuangkan persatuan komuniti Cina sejak sekian lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2020.

Ong berkata mereka sudah menghubungi Timbalan Menteri Pendidikan baharu Mah Hang Soon untuk mengatur pertemuan bagi membincangkan isu itu.

“Kerajaan Pakatan Harapan sudah menubuhkan jawatankuasa khas semakan UEC dan jawatankuasa sudah menghantar laporan kepada Kementerian Pendidikan, jadi sekarang kita akan tengok apa perkembangannya,” katanya.

Kabinet Muhyiddin juga tidak mempunyai timbalan perdana menteri seperti kebiasaan, tetapi terdapat empat menteri kanan mewakili empat parti dalam PN.

Mereka ialah Mohamed Azmin Ali (perdagangan antarabangsa dan industri), Ismail Sabri Yaakob (pertahanan), Mohd Radzi Mohd Jidin (pendidikan) dan Fadillah Yusof (kerja raya).

Salah seorang menteri yang jadi tumpuan ramai ialah Tengku Zafrul Tengku Aziz daripada CIMB yang dilantik sebagai menteri kewangan.

Hock San berkata Muhyiddin melantik menterinya yang berpengalaman tetapi Tengku Zafrul adalah “orang luar”, bukan daripada arena politik.

“Dia CEO CIMB dan ada 24 tahun pengalaman, saya percaya dia mampu membantu perdana menteri untuk menstabilkan dan memulihkan semula ekonomi,” katanya.

Tambah Hock San lagi, kerajaan baharu perlu segera menggubal dasar seperti membenarkan bank melanjutkan tempoh pinjaman untuk individu atau perniagaan yang memerlukan atau mengurangkan bayaran bulanan.

“Pada masa sama, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada projek infrastruktur untuk memulihkan ekonomi dalam jangka panjang, seperti projek landasan kereta api, telekomunikasi, jalan raya dan kesihatan,” katanya.

Hock San berkata langkah ini akan menjadi asas untuk memulihkan ekonomi dengan lebih cepat. – 12 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen