SEMUA menteri dan timbalan menteri PAS akan mengisytiharkan harta kepada agensi anti rasuah, seperti arahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim yang dilantik menteri alam sekitar berkata, beliau juga akan memastikan semua ahli Parlimen PAS berbuat sama selari dengan kedudukan parti Islam itu sebagai anggota kerajaan.
“Semua menteri dan timbalan menteri akan isytihar, ia tidak ada halangan. Isu yang berlaku di Parlimen adalah isu lain,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.
Tuan Ibrahim merujuk pada bantahan PAS sebelum ini, semasa pentadbiran Pakatan Harapan.
Jelas beliau, bantahan PAS sebelum ini adalah kerana perisytiharan harta diwajibkan juga ke atas ahli keluarga anggota Dewan Rakyat.
“Jadi macam mana kita hendak minta kepada bukan ahli Parlimen isytihar harta seperti isteri dan anak-anak,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Alam Sekitar di Putrajaya, hari ini.
Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pertama hari ini mengumumkan arahannya kepada menteri dan timbalan menteri supaya mengisytiharkan harta dalam masa sebulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Di bawah pentadbiran PH, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan harta kepada Speaker Dewan Rakyat.
Arahan juga terpakai ke atas pasangan, anak mereka yang berumur lebih 21 tahun, serta pemegang amanah mereka.
Ketika itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata mengisytihar harta adalah idea komunisme.
Setakat 5 Disember 2019, hanya 160 daripada 222 ahli Parlimen sudah mengisytiharkan harta.
Pada Isnin, Muhyiddin menamakan tiga pemimpin PAS sebagai menteri dan lima sebagai timbalan menteri dalam barisan kabinetnya, yang menandakan kembalinya parti Islam itu dalam pentadbiran Persekutuan sejak 1970-an.
Selain Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dinamakan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio undang-undang dan hal ehwal Parlimen.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Khairuddin Aman Razali dilantik menteri perusahaan perladangan dan komoditi.
Lima pemimpin PAS yang dilantik timbalan menteri ialah Awang Hashim (sumber manusia), Siti Zailah Mohd Yusoff (wanita dan keluarga), Ahmad Marzuk Shaary (Jabatan Perdana Menteri), Che Abdullah Mat Nawi (pertanian dan industri makanan) dan Ahmad Amzad Hashim (sains, teknologi dan inovasi). – 11 Mac, 2020.
Komen