KETIKA isu 1MDB membarah pada 2015, orang Umno sedang mendesak agar Muhyiddin Yassin dipecat dari parti kerana memburukkan ketua mereka, Najib Razak.
Mereka tidak mahu Muhyiddin memujuk orang Umno melihat perkara buruk dalam 1MDB. Orang Najib tidak mahu Umno turut hairan wang yang begitu banyak masuk akaun perdana menteri.
Jadi, pilihan waktu itu sama ada Umno singkir Najib atau Muhyiddin, timbalan presiden parti yang juga timbalan presiden Umno waktu itu.
Tidak mungkin Umno dapat menyingkirkan Najib yang menguasai parti. Kabinet Najib tetap buta, tuli dan bisu dalam isu 1MDB. Muhyiddin dipecat dari Umno.
Tapi akhirnya siapa menang dan siapa kecundang? Untuk menjawab soalan itu, kita boleh lihat tindak tanduk tokoh besar di belakang Muhyiddin – Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir keluar Umno dan ikut bertanding pilihan raya bersama bekas musuhnya DAP, PKR dan Amanah. Pengaruh Dr Mahathir menarik sokongan orang Melayu untuk ikut menentang Najib.
Hasilnya Pakatan Harapan menang dan merampas Putrajaya pada Mei 2018. Najib, isteri dan konco-konconya diheret ke mahkamah.
Dalam pada itu, PH mentadbir kerajaan. Tidak sedikit juga isu yang timbul, dari perkara tetek bengek seperti tulisan jawi hinggalah kepada beban sara hidup rakyat.

Tidak sedikit juga pemimpin DAP dan PKR yang menyinga dan menuntut Dr Mahathir segera berundur dari jawatan PM untuk memberi laluan kepada pemimpin mereka, Anwar Ibrahim.
Di sebalik tabir pula, rundingan demi rundingan berjalan. Ketika ditanya, Dr Mahathir tidak menafikan. Beliau bertemu dengan semua orang termasuk pemimpin pembangkang.
Turut jadi perhatian adalah seorang lagi anak didiknya, Azmin Ali. Teka-teki mengenai percutian dengan rakan baiknya, Hishammuddin Hussein pada akhir Disember 2018 akhirnya terjawab juga.
Gerakan di balik tabir itu memuncak dengan Langkah Sheraton yang membolehkan Azmin membentuk kerajaan baharu dengan Umno dan PAS bersama pengikut lain.
Di waktu ini, Mahathir menggambarkan dirinya seorang mangsa yang dikhianati oleh Muhyiddin kerana bersekongkol dengan kumpulan tersebut dan menjatuhkan kerajaan PH.
Namun apa yang pasti, Muhyiddin kini jadi perdana menteri. Umno seolah-olah tidak pernah hilang kuasa, kembali ke Putrajaya. Bersatu, yang memang asalnya Umno tetap jadi kerajaan.

Azmin, yang juga asalnya dari Umno kekal dalam kerajaan. Namanya yang pertama diumumkan sewaktu Muhyiddin membaca senarai menteri baharu.
Lalu, perkembangan sepanjang lima tahun ini dilihat satu usaha untuk menyingkirkan Najib dan konco-konconya bagi menyusun semula kerajaan dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri baharu.
Kerjasama Bersatu campur BN dan PAS ini tidak banyak beza dengan kerajaan yang dibentuk tahun 70-an. Kebetulan juga, ia berlaku selepas DAP menang banyak kerusi Parlimen.
Najib kini terpaksa kekal di mahkamah. Katanya, beliau mahu berbaik semula dengan Muhyiddin dan tidak mahu tuduhan ke atasnya digugurkan. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga mahu terus berlawan di mahkamah.

Watak paling untung dan berpengaruh dalam cerita ini tidak lain Dr Mahathir.
Muhyiddin mahu terus berbaik dengannya. Tidak ketinggalan, sesetengah pihak dalam PH juga mahu kekal bawah naungan Dr Mahathir, terutama DAP yang mahu pengaruhnya meraih undi Melayu.
Walau mengadu dirinya mangsa khianat, Dr Mahathir paling dimahukan semua pihak dalam kisah lima tahun ini. PKR pula tetap mahu Anwar jadi perdana menteri.– 11 Mac, 2020.
Komen