Haniff Khatri letak jawatan pengerusi Perda


Mohd Farhan Darwis

Mohamed Haniff Khatri Abdulla meletak jawatan pengerusi Perda berkuatkuasa Jumaat ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2020.

MOHAMED Haniff Khatri Abdulla meletak jawatan pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), berkuatkuasa Jumaat ini.

Peguam itu berkata, keputusan itu diambilnya bagi membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melantik individu lain memandangkan pelantikannya dibuat di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi di situlah pada hari Jumaat ini, insha Allah surat saya akan dikeluarkan dan saya juga akan mengeluarkan surat menawarkan perletakan jawatan kepada pihak kerajaan Persekutuan.

“Saya hendaklah menyerahkan semula mandat saya sebagai pengerusi Perda walaupun tempohnya masih wujud, kembali kepada kerajaan supaya menteri yang telah dilantik dan kerajaan yang telah ditubuh dapat menentukan calon siapakah yang mereka ingin mengendalikan institusi,” kata Haniff.

Haniff berkata demikian dalam satu rakaman video yang dimuat naik ke YouTube, pada Isnin lalu.

Perkara itu juga katanya akan dimaklumkan kepada kakitangan Perda pada Jumaat.

“Saya juga akan memaklumkan kepada pihak pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai dan warga kerja Perda supaya mereka tahu apa yang berlaku.

“Dan insha Allah pada hari Jumaat saya akan mengutuskan surat kepada yang berhormat menteri yang baru dilantik berkaitan keputusan saya untuk menyerahkan semula mandat,” kata Haniff lagi.

Haniff berkata, beliau memilih 9 Mac kerana pada waktu itu kerajaan sudah membentuk dan  mempunyai barisan Kabinet.

“Pada masa kerajaan berubah, kita tidak ada barisan menteri kabinet, cuma ada Perdana Menteri kelapan Muhyiddin Yassin dan saya terpaksa menunggu supaya satu Kabinet baru ditubuhkan untuk mengetahui siapakah menteri yang bertanggungjawab mengendalikan Perda.

“Dan menunggu perkara ini diselesaikan seperti hari ini yang semua orang tahu, pada hari ini menteri yang berkenaan dan semua jemaah menteri sudah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau saya serahkan pada 1 Mac, (sewaktu kerajaan bertukar) saya tidak profesional dan tidak bertanggungjawab  kerana tidak ada menteri yang akan mengemudi Perda sebagai satu institusi Persekutuan,” kata Haniff. 

Beliau ketika dilantik mengisi jawatan itu pada 5 Januari 2019, berkata pelantikannya seiring dengan tugas untuk membersihkan agensi itu.

Haniff turut menafikan pelantikannya waktu itu berkaitan dengn politik. – 11 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen