PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengesahkan Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali secara rasmi telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata, permohonan oleh Azmin dan 10 yang lain untuk menyertai parti itu telah dipersetujui dan diterima dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu.
“Ini adalah pendirian parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Putrajaya, hari ini.
Pada 24 Februari lalu, Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dipecat oleh parti berkuat kuasa serta-merta.
Selain Mohamed Azmin, yang turut menyertai Bersatu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida, Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Ja’afar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).
Difahamkan seorang lagi Ahli Parlimen Segamat Dr Santhara Kumar akan menjadi ahli bersekutu Bersatu.– Bernama, 11 Mac, 2020.
Komen