SEMUA menteri kanan adalah setara tetapi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya perdana menteri tiada, kata Muhyiddin Yassin.
“Semua menteri kanan adalah setara,” kata Muhyiddin, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menterinya yang pertama di Putrajaya, hari ini.
“Cuma saya beritahu Kabinet sekiranya saya tiada, Azmin akan pengerusikan Kabinet dan buat apa yang patut.”
Muhyiddin menjawab pertanyaan wartawan menteri kanan yang mana satu paling kanan, antara empat yang dilantik.
Selain Azmin, tiga lagi menteri kanan ialah Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan), Fadhilah Yusof (Menteri Kerja Raya), dan Mohd Radzi Jidin (Menteri Pendidikan).
Dalam ucapannya semasa mengumumkan barisan Jemaah Menteri kelmarin, Muhyiddin berkata empat menteri kanan yang dilantik akan membantu urusan menyeleraskan hal ehwal Kabinet.
Setiap seorang menteri diberi tugas dan tanggungjawab menyeleraskan bidang ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur, serta pendidikan dan sosial.
“Menteri-menteri Kanan akan membantu saya menjalankan tugas sebagai perdana menteri termasuklah mempengerusikan mesyuarat Kabinet di waktu ketiadaan saya dalam negara.
“Dengan adanya menteri-menteri kanan ini, maka tiada keperluan pada masa ini untuk seorang timbalan perdana menteri dilantik,” katanya dalam ucapan pada Isnin lalu. – 11 Mac, 2020.
Komen