Dzulkifli Ahmad nafi lindungi Najib pada 2016


Bede Hong

Pada 26 Januari 2016 peguam negara ketika itu, Apandi Ali membersihkan Najib Razak daripada semua salah laku jenayah berhubung isu derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC International yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 Mac, 2020.

SAKSI pembelaan, Dzulkifli Ahmad nafi terlibat sama menutup kes membabitkan Najib Razak apabila dakwaan salah laku jenayah ke atas bekas perdana menteri itu digugurkan pada Januari 2016.

Dzulkifli yang ketika itu timbalan pendakwa raya, juga menafikan cadangan Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram bahawa tindakan Pejabat Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cuma satu ‘sandiwara’.

Pada 26 Januari 2016 peguam negara ketika itu, Apandi Ali, membersihkan Najib daripada semua salah laku jenayah berhubung isu derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC International yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Semasa sesi soal balas, Sithambaram mencadangkan bahawa arahan Apandi supaya kertas siasatan diserah semula kepada SPRM hanya sandiwara kerana keputusan untuk tidak mendakwa Najib telahpun dibuat.

“Ini adalah semata-mata ‘tohmahan’ oleh pendakwa, sama sekali tidak benar,” kata Dzulkifli kepada mahkamah hari ini.

SPRM menghantar kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara pada 31 Disember 2015, dan mencadangkan supaya Najib didakwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Duzlkifli memberitahu mahkamah, Apandi mengembalikan semula kertas siasatan kepada SPRM untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada agensi anti rasuah itu.

‘Penjelasan lanjut ini sangat penting untuk mengetahui sama ada kes itu boleh dibuktikan atau tidak,” kata Dzulkifli.

Sithambaram kemudian mencelah dengan berkata tindakan itu semata-mata untuk menutup kes Najib.

“Ini sama sekali tidak benar,” tegas Dzulkifli.  – 11 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen