Annuar Musa masih harap Parlimen dibubar


Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata Parlimen patut dibubarkan bagi membuktikan pentadbiran Perikatan Nasional bukan kerajaan pintu belakang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2020.

SETIAUSAHA Agung Umno Annuar Musa masih berharap Parlimen akan dibubarkan, ketika pentadbiran Perikatan Nasional terus berdepan kritikan ia dibentuk melalui “pintu belakang”.

Annuar, yang dilantik menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengulangi pendirian Umno dan PAS ketika kemuncak kemelut politik selepas runtuhnya pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada akhir Februari lalu.

Menulis di Twitter pagi ini, Annuar berkata pemimpin PH tidak mengakui kesilapan mereka sebaliknya meneruskan “wirid” bahawa kerajaan sekarang adalah kerajaan pintu belakang.

“Setelah kerosakan yang ditinggalkan PH diuruskan dan wabak Covid-19 reda, kita harap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan, seperti mana dari awal dimahukan oleh Muafakat Nasional.

“Kita serah pada rakyat, sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini,” tulis Annuar di Twitter.

Dalam barisan jemaah menteri yang diumumkan oleh Muhyiddin kelmarin, Annuar dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

 

Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan di Persekutuan pada akhir Februari, dan seterusnya di beberapa negeri, selepas Bersatu menarik diri keluar dari PH dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan PAS. Gabungan itu disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Keputusan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH bagaimanapun tidak dipersetujui oleh pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad.

Sehari selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu membincangkan perkara itu, Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri pada 24 Februari lalu, sekali gus memulakan kemelut politik pembentukan kerajaan di Putrajaya yang berlarutan hampir seminggu.

Ketika kemuncak kemelut itulah, Umno dan PAS mengisytiharkan pendirian mahu Parlimen dibubar untuk rakyat menentukan semula mandat kerajaan.

Kemelut berakhir apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan menamakan Muhyiddin sebagai perdana menteri. Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lepas. – 11 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen