Muhyiddin pengerusikan mesyuarat Kabinet pertama


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan barisan Kabinet, yang buat pertama kali dalam sejarah negara tidak menamakan timbalan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama di Perdana Putra di Putrajaya.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 9.25 pagi itu dihadiri kesemua 31 menteri yang dilantik.

Sebelum mesyuarat Kabinet itu bermula, Muhyiddin menyertai sesi bergambar bersama Jemaah Menteri.

Pada Isnin (9 Mac), Muhyiddin mengumumkan barisan Kabinet, yang buat pertama kali dalam sejarah negara tidak menamakan timbalan perdana menteri.

Muhyiddin sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Menteri-menteri Kabinet yang dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di Putrajaya, semalam.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.

Turut hadir dalam mesyuarat Kabinet pertama itu ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Dr Farizah Ahmad. – Bernama, 11 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen