USUL undi tidak percaya untuk mencabar Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat tidak mungkin berjaya lagi kerana perdana menteri kelapan itu berjaya mendapat sokongan majoriti, kata Dr Mahathir Mohamad.
Muhyiddin berjaya mendapat sokongan itu dengan memberi jawatan Kabinet kepada ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong beliau, kata Dr Mahathir seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.
“Saya dapati beberapa orang yang menjadi penyokong saya, sekarang ini dilantik menjadi menteri, maka mereka berpindah ke sebelah sana,” katanya.
Jelasnya, beliau bersama Pakatan Harapan (PH) mendapat majoriti dengan 114 kerusi, seperti diumumkan pada 29 Februari, sehari sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri.
“Tetapi sekarang ini jumlah itu makin kurang. Jadi dalam Dewan Rakyat kita hendak bawa usul tidak percaya pun tidak mungkin berjaya. Sebabnya dia sudah ambil orang saya menyebelahi dia.
“Memanglah bila dia tawarkan jadi menteri, susah bagi orang nak tolak. Saya tidak boleh tawarkan apa-apa pun,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Oleh itu kerajaan yang dipimpin Muhyiddin mampu bertahan sehingga PRU15, kata pengerusi Bersatu itu dalam satu temubual dengan beberapa organisasi media.
“Boleh bertahan sampai PRU. Sekarang ini bila dia (Muhyiddin) jadi kerajaan, dia dapat bagi gula-gula kepada banyak orang,” katanya.
Muhyiddin pada Isnin lalu mengumumkan pelantikan 32 orang menteri dan 38 orang timbalan menteri, melibatkan 63 ahli Parlimen yang menyokongnya.
Keesokan harinya, perdana menteri keenam Najib Razak mengumumkan senarai empat ahli Parlimen yang menyokong Dr Mahathir sebelum dilantik ke Kabinet, termasuk dua lagi yang berpaling tadah.
Dengan peralihan itu, tinggal 108 ahli Parlimen saja bersama kem Dr Mahathir yang perlu mendapat sekurang-kurangnya 112 sokongan untuk memperolehi majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Paling kanan dalam senarai enam ahli Parlimen itu, Maximus Johnity Ongkili (Kota Marudu) yang dilantik menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tiga yang dilantik timbalan menteri pula Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah), Jonathan Yasin (Ranau) dan Jeffrey Kitingan (Keningau).
Richard Riot (Serian) dan Syed Abu Hussin (Bukit Gantang) merupakan dua lagi ahli Parlimen yang mengumumkan tidak menyokong Dr Mahathir.
Keenam-enamnya dalam senarai 114 ahli Parlimen yang didedahkan Dr Mahathir pada malam sebelum Muhyiddin mengangkat sumpah. – 11 Mac, 2020.
Komen