Kit ujian pantas Covid-19 akan digunakan di Malaysia


Ragananthini Vethasalam

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia akan cuba menggunakan kit ujian pantas Covid-19 yang akan memberi keputusan dalam tempoh lebih cepat, dengan ketepatan lebih tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkatata Malaysia sudah ada kit ujian pantas itu, yang akan digunakan kepada pesakit yang disyaki selepas diuji.

“Kita ada dan kita akan gunakan tidak lama lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Singapura sudah pun mula menggunakan kit ujian pantas ini, dan dengan kadar ketepatan 99%.

Dr Noor Hisham tidak menjawab ketika ditanya adakah kit ujian itu diperoleh dari Singapura.

Baru-baru ini, dilaporkan Singapura mula menggunakan kit ujian pantas yang akan dapat menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti Covid-19 atau tidak dalam tempoh sekejap, berbanding ujian yang dijalankan di hospital.

Sejak Khamis, ujian dijalankan terhadap pelawat ke republik itu yang mengalami  demam atau simptom pernafasan, tetapi tidak didefinasikan sebagai “kes suspek klinikal”.

Kit ujian itu dibangunkan oleh agensi teknologi dan pasukan sains negara berkenaan bersama Veredus Laboratories.

Penyelidik juga mendakwa ketepatan kit ujian itu lebih 99%.

Bagaimanapun, kementerian kesihatan Singapura tidak mendedahkan harga kit ujian itu.

Kit ujian itu digunakan di hospital di Singapura dengan kos kira-kira S$270 (RM821.67) walaupun ujian bagi semua kes yang disyaki adalah percuma. – 11 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen