Adun DAP gesa ambil tindakan undang-undang hentikan kutipan tol Jambatan Pulau Pinang 


Looi Sue-Chern

Kos pembinaan Jambatan Pulau Pinang sudah lama dilunaskan dengan kutipan tol yang bermula di awal pembukaannya pada Ogos 1985.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2017.

KERAJAAN Pulau Pinang digesa mengambil tindakan undang-undang untuk menghentikan konsesi tol Jambatan Pulau Pinang daripada meneruskan kutipan tol.

Perjanjian konsesi tol menyatakan tol akan dikutip sehingga 2038.

Kerajaan negeri sebelum ini menyatakan kutipan tol perlu dimansuhkan berikutan kos pembinaan jambatan berkenaan sudah lama dilunaskan dengan kutipan tol selama bertahun-tahun sejak jambatan berkenaan dibuka pada Ogos 1985.

Adun DAP Sri Delima, R.S.N Rayer berkata, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan undang-undang untuk memaksa kerajaan persekutuan menunjukkan perjanjian konsesi itu di mahkamah dan mendapatkan injunksi untuk menghentikan kutipan tol jambatan itu.

“Kita ada ramai peguam di Pulau Pinang. Kerajaan negeri perlu pertimbangkan cadangan ini,” katanya ketika penggulungan perbahasan oleh exco kerja raya Lim Hock Seng pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Lim (DAP-Bagan Jermal) memberitahu Rayer untuk mengkaji lebih lanjut cadangan itu dan menasihatkan kerajaan negeri mengenainya berikutan beliau sendiri merupakan seorang peguam. 

Terdahulu, Lim berkata Pulau Pinang mencatatkan 131 runtuhan cerun bukit pada September dan November berikutan hujan lebat.

Negeri di utara dilanda hujan lebat pada 15 September dan 4 serta 5 November menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di kebanyakan tempat sekitar negeri itu.

Lim berkata, terdapat 46 runtuhan cerun bukit berikutan hujan pada 15 September dan 85 kes dicatatkan pada 4 November.

Runtuhan cerun berlaku di sepanjang rizab jalan Jabatan Kerja Raya di Jalan Persekutuan Paya Terubong, Jalan Tanjung Tokong-Batu Ferringhi-Teluk Bahang-Balik Pulau, Jalan Tun Sardon dan Jalan Jeep. – 13 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen